Saingan Liga Super musim ini mungkin lain sedikit berbanding musim-musim sebelumnya. Sikit je lain, sebab selepas tamat pusingan pertama, juara berturut-turut 7 kali, JDT masih berada di kedudukan teratas. Cuma, jarak skuad Harimau Selatan dengan pencabar-pencabarnya musim ini tidak begitu jauh. Hanya 3 mata membezakan JDT dengan Terengganu FC yang berada di kedudukan ke-4. Fuh, sengit!
Perlawanan ke-12 Liga Super pula menyaksikan 4 pasukan teratas Liga Super akan beraksi. Peminat bola sepak tempatan mesti akan beri tumpuan kepada semua perlawanan ni kan? Jom kita preview sikit perlawanan ni semua.
Terengganu vs UiTM
Berdepan pasukan tercorot, Terengganu sepatutnya tak berdepan masalah untuk raih 3 mata penuh di laman sendiri. Perkara yang membimbangkan buat skuad kendalian Nafuzi Zain ni ialah konsistensi. Terengganu berjaya leburkan rekod tanpa kalah JDT kira-kira seminggu lalu. Namun tewas perlawanan berikutnya 1-4 kepada Penang. Kalau tidak, Terengganu ni dah dekat nombor 2 dah.
Selepas beberapa musim dianggap sebagai pencabar kejuaraan, rasanya dah tiba masa Nafuzi Zain merealisasikan impian penyokong skuad Penyu untuk bergelar juara Liga Super. Dengan syarat, selesaikan masalah penyerang import yang susah nak jaringkan gol dan kena catat kemenangan dengan konsisten.
Kuala Lumpur City vs Penang
Pasukan tempat ke-3, Penang mempunyai kelebihan di atas kertas. Tewas sekali dalam 11 perlawanan pastinya rekod yang ingin dimiliki mana-mana pasukan. Kalah pun dengan JDT. Kira ok la. Kemenangan ke atas Terengganu tempoh hari pasti memberi suntikan semangat kepada anak buah Thomas Trucha untuk terus catatkan kemenangan.
Namun, Kuala Lumpur City ni bukan pasukan yang boleh dipandang sebelah mata. Sebab mereka berjaya seri 1-1 dengan JDT tempoh hari. Dengan barisan pemain berpengalaman antaranya, Shukor Adan, Indra Putra Mahyuddin dan Safee Sali, skuad kendalian Bojan Hodak ni mampu cipta kejutan. Tapi...Penang menang rasa noh? Haria Penang Haria!
Kedah Darul Aman vs JDT
Perlawanan tumpuan! Top of the table clash! Pertembungan pasukan pertama dan kedua. Kedah Darul Aman berada dalam prestasi terbaik apabila mencatat 2 kemenangan sebelum ini. Aidil Sharin Sahak sudah pasti akan pertaruhkan 2 penyerang importnya, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche untuk merobek gawang JDT. Tapi rasanya bukan tugas mudah untuk kedua-dua penyerang skuad Lang Merah malam ni. Selain berdepan juara bertahan, pertahanan JDT hanya melepaskan 6 gol sepanjang musim ini. Rekod pertahanan terbaik dalam liga.
JDT pula tidak berada dalam prestasi terbaik. Tewas kepada Terengganu dan seri dengan Kuala Lumpur City. Pernah ke JDT gagal catat sebarang kemenangan untuk 3 perlawanan berturut-turut? Sebab selalunya menang je JDT ni. Ini antara stats menarik yang boleh kita saksikan nanti. Ok, mungkin JDT boleh tarik nafas lega sebab perlawanan ini akan berlangsung tanpa kehadiran penonton di stadium. Sebagai juara 7 kali berturut-turut, JDT dah pasti nak raih 3 mata untuk jarakkan kedudukan dengan pencabar mereka.
Macam mana? Menarik kan perlawanan ke-12 Liga Super ni? Jangan lupa untuk saksikan perlawanan nanti. Yang boleh hadir ke stadium tu boleh lah pergi beri sokongan. Yang tak boleh tu sokong dari rumah la nampak gayanya kan? Sokongan kita ni penting sebenarnya kepada industri sukan tempatan. Sebab kalau bukan kita yang nak tengok, yang nak sokong, yang nak meriahkan, siapa lagi?
Oleh: Karami Kamel