Penunggang Agama Kutip RM2 Juta Dalam Tempoh 2 Minggu Tayangan

Filem keluaran dua penerbit berpengaruh tanah air, Astro Shaw dan Skop Productions, Penunggang Agama berjaya mengutip RM2 juta dalam tempoh dua minggu tayangan.

penunggang agama kutip rm2 juta dalam tempoh 2 minggu tayangan

Menerima pencapaian itu dengan penuh rasa rendah diri, pengarah filem tersebut, Syafiq Yusof berkata, “Penunggang Agama adalah percubaan pertama saya dalam menghasilkan sebuah konten berelemenkan islamik dan khas dibuat untuk tayangan di Astro First.

“Alhamdulillah, kerja keras saya bersama kru dan barisan pelakon telah menerima respon positif daripada penonton dan saya ingin ambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton yang telah melanggan filem ini di Astro First.”

Tambahnya lagi, “Saya anggap kejayaan filem Penunggang Agama adalah sokongan yang diberikan daripada peminat dan penonton untuk saya terus perbaiki dan hasilkan karya yang mengikut citarasa penonton.”

penunggang agama kutip rm2 juta dalam tempoh 2 minggu tayangan

Dalam pada itu, Syafiq turut berkongsi keterujaannya terhadap filem terbaru arahannya itu yang juga bakal ditayangkan di negara jiran iaitu Singapura bermula 15 April ini.

“Sementara itu, saya juga rasa teruja kerana naskhah yang saya hasilkan akan ditayangkan di pawagam negara jiran. Setelah hampir setahun lebih ekoran pandemik COVID-19, banyak filem tidak dapat ditayangkan di layar besar.

“Saya harap selepas kehadiran filem ini di Singapura, ia akan dibawa pula ke pawagam tempatan dan sekali gus mampu menaikkan lagi keterujaan penonton kita untuk kembali menikmati pengalaman menonton di panggung wayang.”

penunggang agama kutip rm2 juta dalam tempoh 2 minggu tayangan

Filem Penunggang Agama merupakan filem tempatan pertama yang menembusi pasaran pawagam luar negara semenjak pandemik COVID-19 melanda.

Filem tersebut mengisahkan Amir (Zul Ariffin) dan Anna (Azira Shafinaz), pasangan suami isteri yang berdepan dengan cabaran getir akibat ibu tiri Amir, Datin Maria (Sabrina Ali) yang mengalami ‘gangguan makhluk halus’.

Dato Hafsyam (Dato’ Jalaluddin Hassan), iaitu ayah Amir kemudiannya mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat daripada seorang pakar ruqyah bernama Tok Haji (Nasir Bilal Khan).

penunggang agama kutip rm2 juta dalam tempoh 2 minggu tayangan

Dari situ, mulanya timbul pelbagai perkara dan keraguan antara satu sama lain hingga mencetuskan teka-teki mengenai siapakah sebenarnya antara mereka yang merupakan ‘penunggang agama’.

Mereka yang berminat untuk menonton filem Penunggang Agama boleh melanggan di saluran 480 atau strim di Astro Go atau On Demand hanya dengan harga semurah RM15, yang mana penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.