Pengembaraan Bulan Di Kaca Televisyen

Setelah terpaksa dihentikan tayangan di serata pawagam Malaysia, lima hari selepas dibuka tontonan, filem Bulan & Pria Terhebat kini kembali ditayangkan pada kaca televisyen menerusi Astro First.

pengembaraan bulan di kaca televisyen

Bulan & Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar yang juga pengarah Polis Evo 1, dibintangi nama-nama besar seperti Zahirah MacWilson, Maya Karin dan Zizan Razak.

Menampilkan kelainan berbanding filem-filem blockbuster tempatan terdahulu, Bulan & Pria Terhebat mengangkat tema hero wanita sekali gus menampakkan kemampuan pelakon Zahirah MacWilson dalam membawa watak utama wanita yang melakonkan adegan-adegan aksi.

Tidak ketinggalan, pelakon terkenal, Maya Karin buat julung kalinya, memainkan watak antogonis yang bernama Tony.

Bulan & Pria Terhebat menceritakan mengenai Bulan lakonan Zahirah MacWilson, seorang pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia.

Pengembaraan Bulan bermula apabila dia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia demi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Dari situ, Bulan bertemu dengan Haris lakonan Zizan Razak, yang membantunya dalam mendapatkan kembali adiknya daripada genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky.

Tony lakonan Maya Karin pula merupakan seorang pembunuh upahan yang diarahkan oleh Ricky untuk menghapuskan Bulan dan Haris.

Filem Bulan & Pria Terhebat bakal menemui ramai di Astro First menerusi saluran 480 bermula 11 Mac 2021.

Bulan & Pria Terhebat juga boleh distrim di Astro Go atau On Demand.