Penat Simpan Rambut Panjang, Pengasuh Akhirnya Potong Rambut Anak Tanpa Izin

Seorang ibu di Ipoh, Perak terkejut melihat rambut anaknya yang panjang tiba-tiba menjadi pendek dan hampir botak selepas mengambil pulang dari rumah asuhan.

penat simpan rambut panjang, pengasuh akhirnya potong rambut anak tanpa izin

Ibu yang bernama Dr Nil Irma Isaura Azman itu berkongsi yang rambut anak lelakinya yang sebelum ini mencecah paras telinga dan sengaja dibiarkan tidak dipotong kerana lambat panjang. Rambut anaknya, Ahmad Ezra Ahmad Haziq yang berusia satu tahun enam bulan itu bahkan tidak pernah dipotong sejak lahir kerana sebab sama.

“Rambut anak keempat saya memang lambat tumbuh sejak lahir, jadi saya biarkan saja. Tambahan pula rambutnya halus dan lembut, jadi tak nampak serabut.

“Cuma bahagian hadapan sahaja dah sampai mata dan memang saya rancang nak rapikan... tapi tak sangka pula yang pengasuh dah potong pendek!” katanya ketika ditemu bual media lokal.

Namun, lain pula yang terjadi apabila ia dipotong sendiri oleh pengasuh ketika anaknya dihantar ke pusat asuhan, dan lebih mengeruhkan keadaan, ia dilakukan pengasuh itu sendiri dan bukannya tukang gunting berpengalaman, serta tanpa izin sang ibu sendiri.

“Memang terkedu sangat pada waktu tu tapi tak mampu bercakap apa. Apabila balik rumah, saya berbincang dengan suami tentang kejadian yang berlaku dan kami sependapat bahawa tindakan pengasuh tersebut perlu ditegur,” katanya.

Ibu berusia 33 tahun itu kemudian memuat naik video berkenaan anaknya itu di media sosial untuk meminta pandangan daripada orang ramai.

“Memang terkilan sangat sampai saya sendiri tak lalu nak makan, rasa emosi dengan apa yang berlaku.

“Setiap kali nampak rambut Ezra botak macam askar memang saya akan rasa sedih dan kira-kira dua minggu saya elak daripada menghantar anak ke rumah pengasuh tersebut,” katanya lagi.

Bagaimanapun, wanita yang menetap di Ipoh, Perak itu tetap menghantar anaknya ke rumah pengasuh tersebut biarpun tidak dapat menerima kejadian yang berlaku.

Sejak dikongsi di media sosial, video berkenaan menjadi tular di aplikasi TikTok dan mendapat pelbagai reaksi daripada wargamaya.

 

Sumber: [1]