Kumpulan Dolla mengambil pendekatan selamat apabila bertindak mengunci mulut mengenai kecaman yang dibuat kepada mereka berhubung penampilan seksi ketika membuat persembahan dalam acara Good Vibes Weekender baru-baru ini.
Salah seorang ahli Dolla, Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli berkata, mereka tidak akan memberi sebarang komen mengenai isu terbabit buat masa ini.
Tambahnya, syarikat pengurusan mereka Universal Music akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu sensitif ini dalam masa terdekat.
“Saya tidak boleh berikan sebarang respons setakat ini. Pihak pengurusan tidak akan membenarkan kami memberi komen tentang isu tersebut sebab mereka yang akan beri kenyataan.
“Saya perlu hormat keputusan pihak pengurusan. Kami hanya artis dan pihak pengurusan yang membuat semua keputusan.
“Jadi, tugas kami hanya untuk buat persembahan dan menyanyi itu saja,” katanya.
Terdahulu, Dolla dikecam ramai selepas tampil dengan imej seksi pada festival muzik yang berlangsung pada minggu lalu.
Malah ada yang membandingkan penampilan Dolla dengan penyanyi luar negara yang dilihat lebih sopan pada acara yang sama.
Sumber: Kosmo!