‘Kau Menyusahkan Kakak’ - Ogy Tegur Sikap Kurang Hormat Pempengaruh Kepada Pelakon Senior

Pelakon senior Fauziah Ahmad Daud akui kecewa dengan sikap sesetengah pempengaruh yang baru memasuki industri hiburan yang kurang rasa hormat terhadap orang lama. 

Menurutnya, dia pernah berdepan dengan pempengaruh media sosial yang tidak mempunyai rasa hornat terhadap pelakon senior dan kru produksi.

“Saya cakap dengan dia, ‘kau menyusahkan kakak di set’. Sebab orang sibuk buat persiapan, dia sibuk dengan buat siaran langsung. Itu sangat biadab.

“Dia tidak menghormati pengarah, mereka yang di belakang tabir, malah tidak menghormati peluang yang diberikan kepada mereka,” katanya. 

Pesananya, sesiapa sahaja pelakon baharu juga perlu mengikuti bengkel lakonan agar mereka diberi pendedahan dan asas berlakon selain memupuk rasa tanggungjawab sebagai anak seni.

“Bercakap di telefon sangat berbeza bercakap dengan kamera, sebab di set awak bukan melakonkan watak awak, awak melakonkan watak orang lain.

“Kalau awak nak berlakon tak mengapa, kami tak ada hak untuk menutup pintu rezeki orang. Tapi kenapa tidak mengambil inisiatif untuk menghadirkan diri memasuki bengkel.

“Awak tak perlu ambil tahu apa itu berlakon, tapi apa yang awak kena tahu adalah apa itu tanggungjawab seorang pelakon,” ujarnya. 

Sumber: Kosmo