Selepas dua tahun menjadi pasangan suami isteri, pasangan Noor Nabila dan Engku Emran Engku Zainal Abidin telah sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam.
Kakak kepada selebriti Neelofa ini juga redha dan bersyukur kerana perpisahannya bersama Engku Emran berakhir dengan baik.
“Semua ini adalah takdir untuk saya lalui. Saya mohon doa daripada kalian supaya saya dan anak (Jebat Jayden) diberikan kekuatan untuk melalui masa sukar ini.
“Semoga Allah SWT berikan ketenangan dan kebahagiaan dalam jiwa saya. Sudah tentu bukan mudah (bercerai), namun saya reda dengan ketentuannya,” kata Nabila.
Menurut pemilik nama sebenar Noor Nabila Mohd Noor, 39, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan mendoakan segala urusannya.
“Terima kasih kepada yang sentiasa bersama saya dan memberi sokongan emosi serta mendoakan urusan saya dipermudahkan.
“Saya berharap dan berdoa supaya kita semua sentiasa dikurniakan kebaikan yang berlipat kali ganda, malah lebih daripada apa yang kita impikan. Semoga Allah sentiasa menggerakkan hati kita kepada apa yang sememangnya tertulis untuk kita, bukan sebaliknya,” ujar Nabila.
Nabila turut dilihat berkongsi perasaannya yang terpendam menerusi satu hantaran di IG Story.
Sumber: Kosmo!