Nama Ning Baizura baru-baru ini menjadi bualan hangat komuniti netizen berikutan tular klip video yang memperlihatkan dirinya ‘struggle’ untuk membawa salah satu lagu popular dendangannya sendiri, iaitu “Awan Yang Terpilu”.
Ning bagaimanapun mengaku dia sedikit pun tidak melatah ketika insiden itu berlaku.
Sebaliknya, penyanyi yang kini berusia 47 tahun itu menganggap ia sebagai lumrah yang perlu dilalui susulan memilih bidang hiburan sebagai punca rezeki.
“Ketika video itu mula-mula tular, saya ketawa sahaja. Saya tidak rasa apa-apa pun. Jauh sekali hendak rasa tertekan atau timbul bimbang untuk buat persembahan pada masa akan datang.
“Kalau hendak diikutkan, kontroversi zaman dahulu lagi teruk... Saya adalah artis paling kontroversi. Ada sahaja isu panas yang tercetus sama ada membabitkan imej seksi atau masalah pengurus.
“Semua benda saya kena jawab. Ketika itu, ada sahaja sidang media dianjurkan untuk menjelaskan situasi sebenar. Golongan 'budak baru nak up' (BBNU) sepatutnya kaji sebelum buat onar.
“Isu ini boleh dikatakan seperti main enjit-enjit semut. Tidak perlu sakit, rasa diri kalah atau berkecil hati," katanya kepada satu portal akhbar tempatan.
Bagaimanapun, pelantun lagu “Selagi Ada…(Cinta)” itu merasa terpanggil untuk ‘mendidik’ individu yang memulakan onar tersebut.
“Ramai yang nasihatkan saya tidak melayan provokasi seperti itu. Namun, penjelasan demi penjelasan yang dibuat melalui media adalah untuk mendidik mereka mengenai kenapa, mengapa dan bagaimana isu itu boleh timbul.
“Seperti yang saya tekankan sebelum ini, insiden itu berlaku pada malam keempat iaitu malam terakhir saya mementaskan konsert.
“Perasaan sebak ketika menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu menyebabkan nyanyian saya kedengaran sumbang seperti yang didakwa,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai perlu tahu apabila seseorang penyanyi yang menggunakan teknik soprano perlu mempersembahkan 80 lagu untuk pertunjukan empat malam, ia akan menjadi sukar dan bukan semua orang mampu melakukannya.
“Ketika menyampaikan lagu itu, saya menangis kerana terkenang arwah ayah yang tidak pernah sekali pun menyaksikan saya beraksi secara langsung sepanjang hampir 30 tahun menjadi anak seni.
“Perkara itu tidak tertulis dalam Wikipedia. Bagi BBNU yang tidak tahu latar belakang saya dan cerita di sebalik lagu itu, mereka dengan mudah menjadi wira papan kekunci semata-mata untuk mengaibkan saya,” tambahnya.
Namun, menurut Ning, tidak semua netizen bersifat negatif. Ada juga yang memahami situasi yang dilaluinya.
Selain itu, dia juga bersyukur kerana selepas dia menerima banyak undangan syarikat korporat untuk menyanyi selepas tularnya isu tersebut dan rata-ratanya meminta dia untuk membawakan lagu “Awan Yang Terpilu” dalam ‘show’ tersebut.
Sumber: BHarian