Niezam Zaidi, Mahu Dalami Ilmu Agama

Pelakon Niezam Zaidi baru-baru ini mengakui yang dirinya kini sedang mahu mendalami ilmu agama.

Tambahan lagi, dengan banyak faktor yang melanda dunia hari ini, terbit rasa keinsafan dalam diri Niezam dan dia juga mahu berjasa kepada orang di sekelilingnya.

Mengambil serius dalam hal ini, Niezam berkongsi yang dia kini mengikuti beberapa kumpulan tabligh pada masa lapangnya bagi memastikan dirinya sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama. 

"Sebelum ini ada kumpulan tabligh ajak keluar. Tapi saya sertai tabligh dari Bangladesh yang datang ke kampung saya.

"Mereka beritahu siapa yang turun masjid ini sudah terpilih. Ayat itu membuatkan hati saya tersentuh dan saya cuba berdakwah dengan cara yang saya boleh buat.

"Saya tak baik, jadi saya buat perkara baik. Mungkin situasi yang berlaku dekat dunia sekarang ini membuatkan saya terfikir bahawa hidup ini singkat.

"Emak saya pula sedang sakit. Kadang-kadang saya ini terlalu fikir sampai bila emak akan hidup, tapi sebenarnya saya patut fikir sampai bila pula saya akan hidup. Jadi, saya mahu hidup untuk berjasa dan berkhidmat.

"Bila ada satu 'turning point' berlaku dalam hidup, saya tak boleh ikut kehendak diri sendiri sebaliknya saya lakukan apa-apa kerana Allah. Setakat ini semuanya berjalan lancar," katanya.

"Saya pun tidak mahu terlalu ekstrim sehingga membuatkan orang salah faham. Maklumlah, saya berada dalam industri hiburan dan saya bergelar pelakon. Takut timbul persepsi sehingga boleh menimbulkan fitnah," katanya.

Sumber: Harian Metro