Gara-gara Stadium Nasional Bukit Jalil ‘hilang’ 21,000 tempat duduk untuk aksi Piala AFF pada Sabtu ini disebabkan proses pemasangan pentas bagi konsert penyanyi terkenal Taiwan iaitu Jay Chou, ada netizen negara ini yang dilihat mula menyerang akaun media sosial penyanyi itu.
Sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan 21,000 tempat duduk daripada kapasiti stadium 80,000 terpaksa dikorbankan gara-gara terhalang oleh pentas konsert Jay Chou yang akan berlangsung 15 Januari ini.
Perkara itu nyata telah mengecewakan ramai peminat bola sepak yang mahu menonton aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 melibatkan skuad Harimau Malaya menentang Thailand.
“Kena serang ke… Stadium ni ada padang bola jadi bola patut diutamakan bukan konsert ada otak pakai akal jgn guna kepala lutut,” kata seorang peminat dalam Instagram rasmi Jaychou.
“Tujuan stadium dibina untuk tengok sukan bukan untuk menyanyi…,” kata seorang lagi pemilik Instagram.
Menjengah ke laman sosial penyanyi itu, beberapa netizen dilihat berbalah sesama sendiri, sama ada menyokong atau menentang penganjuran konsert penyanyi Taiwan di Stadium Bukit Jalil itu.
“Beribu-ribu peminat Jay Chou telah menunggu konsert ini selama tiga tahun, mustahil untuk membatalkannya, kalian tidak membuat kekecohan di sini. Peminat bola sepak kasar, sila keluar dari sini,” tulis seorang pemilik akaun Instagram.
“Stadium ini telah ditempah 3 tahun lalu, tetapi akibat impak wabak tersebut, konsert Jay Chou di Malaysia telah ditangguhkan selama tiga tahun. Dan semua tiket sudah habis dijual. dahulu didahulukan…,” kata seorang lagi peminat.
“Kepada fans bola sepak yang dikasihi, konsert ini telah ditunda selama 3 tahun disebabkan Covid, dan tarikh konsert sekarang telah set sejak 1 tahun lalu, fans dari malaysia dan luar negara telah menanti konsert ini banyak tahun lalu. Masalah vacant seat 21,000 bukan salah Jay Chou, tetapi pihak pengurusan stadium yang mengendali event stadium. Tolong hentikan hate comment anda kepada penyanyi/musician legendary ini. Terima kasih,” kata peminat yang lain.
Dalam pada lain, Malaysia akan berdepan tugas getir pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF menentang Thailand, sebelum bertandang ke negara itu pada Selasa depan.
Sumber: Instagram Jay Chou