Pempengaruh, Ameera Khan sering mencuri tumpuan ramai menerusi perkongsiannya di media sosial.
Namun apa yang membezakan beliau dengan influencer lain adalah, setiap kali timbulnya kontroversi mengenai beliau, nama kakaknya, Noor Neelofa turut terpalit sama.
Neelofa yang kini sudahpun berhijrah menjalani kehidupan yang lebih baik, telah menerima kritikan netizen kononnya beliau sekadar menutup mata atas tindakan dan perbuatan adiknya itu.
Bagaimanapun Neelofa, 34, berkata dia sebagai kakak sudahpun menjalankan tanggungjawabnya dengan memberikan nasihat.
“Saya lebih kenal adik saya macam mana, saya pun mainkan peranan sebagai kakak yang lebih berusia dengan bercakap dan berbincang bagi dia faham apa yang dibuat itu betul atau salah.
“Saya tak nak cakap lebih-lebih kerana bagi saya ia privasi kami.
“Tapi apa yang boleh saya katakan kami semua tidak berdiam diri. Saya sokong apa yang baik dan tegur apa yang tidak,” kata Neelofa.
Tambah lagi, Neelofa turut menafikan dakwaan kononnya ahli keluarganya suka mencetuskan kontroversi selepas lama menyepi daripada berita panas. Namun katanya, ia adalah kerana netizen sendiri yang suka mengorek kisah peribadi mereka.
Terdahulu, Ameera telah mencuri tumpuan netizen atas tindakannya bersenam bersama jurulatih lelaki, baru-baru ini.
Sumber: mStar