Kehilangan pemuda bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemui kira-kira sembilan bulan sejak dilaporkan hilang pada 29 Oktober tahun lalu.
Lebih menyayat hati, laporan portal akhbar tempatan mendedahkan arwah sepatutnya bernikah dengan tunangnya pada bulan ini.
Menurut bapa saudara arwah, Azuni Abd Kadir, 47, anak saudaranya yang telah melangsungkan pertunangan bersama pasangan kira-kira setahun sebelum kejadian malang itu berlaku, dijadualkan bernikah pada Januari lalu.
“Namun kerana bapa tunangan Allahyarham baru meninggal dunia kira-kira dua bulan sebelum kehilangannya, keluarga sepakat menunda majlis pernikahannya pada bulan ini.
“Takdir Allah mengatasi segala perancangan kita. Allahyarham tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan sejak 29 Oktober tahun lalu,” katanya.
Misteri kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular di media sosial tahun lalu selepas adiknya memohon bantuan orang ramai selepas gagal mengesan abangnya.
Memetik laporan portal akhbar tempatan, Muhammad Iman Aqmar dilaporkan bergerak dari Pasir Gudang jam 1.30 pagi pada 29 Oktober ke Terengganu menaiki kereta miliknya.
Bagaimanapun, arwah tidak dapat dikesan sejak perjalanan itu.
Pada 23 Julai, pihak polis akhirnya menemukan mayat arwah dalam kenderaan dipercayai miliknya, yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan sekitar jam 11.40 pagi.
Siasatan awal polis mendapati nombor pendaftaran kenderaan terbabit dikaitkan dengan laporan kehilangan yang dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga lelaki bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain.
Rangka mayat tersebut kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat sementara itu ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.
Sumber: [1] [2]