Misha Omar Lakar Sejarah Peribadi Di DFP

Perjalanan kerier seorang yang bernama Samihah @ Aishah Omar bermula selepas menyertai Bintang RTM pada 2001. Walaupun tidak bergelar juara, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan nampak potensi besar gadis muda ini.

misha omar lakar sejarah peribadi di dfp

Menjalani tempoh didikan selama setahun, nama Misha Omar - gabungan nama asal Samihah@Aishah diperkenalkan dengan lagu berhantu bertajuk Bunga-bunga Cinta pada 2002 yang menjadi siulan ramai ketika itu.

Kini selepas 17 tahun bergelar anak seni, mendendangkan lagu-lagu ciptaan komposer ternama negara, Misha Omar melangkah mencipta satu lagi aras kerjaya dengan konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas pada Isnin 5 Ogos lalu.

misha omar lakar sejarah peribadi di dfp

Keterujaan peminat dengan konsert ini dapat dilihat berikutan tiket untuk 900 ratus kerusi habis ditempah dalam tempoh hanya 16 jam!

Membuka tirai persembahan dengan medley Cinta Adam dan Hawa serta Sembunyi, kehadiran beliau mendapat tepukan dan sorakan gemuruh penonton.

Agak mengejutkan lagi Sampai Bila menjadi dendangan seterusnya kerana penulis merasakan beliau mungkin akan menyimpan lagu itu di senarai belakang.

Pengalaman membuatkan beliau semakin matang berkomunikasi dengan audiens, mengimbau kenangan dalam dunia hiburan sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Ku Seru, Pulangkan, Nafas Cahaya, Dedebu Cinta, Jawapanmu, Semoga Abadi dengan diakhiri lagu Bunga-Bunga Cinta. 

Misha beruntung kerana pengarah muzik tersohor negara - Datuk Ramli MS bersetuju dengan permintaannya agar dapat memimpin kelancaran konsert di DFP.

Meski namanya sebaris penyanyi besar negara, figura ini senang didekati kerana tidak pernah langsung nampak riak untuk dia meninggi diri.

Beliau ini juga nyata amat tulus menyayangi peminat sehingga tiap kali berbicara mengenai mereka yang memujanya, Misha akan terdiam seketika dengan mata berkaca.

Sesungguhnya selain kekuatan vokal, sikap kesederhanaan dan keluhuran budi anak seni ini menjadikan beliau sentiasa dekat di hati.

misha omar lakar sejarah peribadi di dfp

Dengan kejayaan konsert #thisismisha ini diharap penganjur dan penaja dapat membuka mata dengan bakat seni anak Malaysia, berbanding keterujaan mereka kini membawa masuk artis luar negara terutama Korea.

Semoga impian konsert berskala lebih besar untuk Misha Omar akan menjadi nyata.

Oleh: Syahdin