Penyanyi, Misha Omar kini tidak lagi mahu berkongsikan fasa menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) bagi menjaga sensitiviti pasangan suami isteri yang disahkan tiada harapan mendapat zuriat.
Menurut Misha, 41, perkongsiannya yang melalui rawatan IVF sejak Jun 2021 pernah membuatkan insan lain terluka hingga mendorongnya untuk tidak berkongsikan lagi kepada umum.
“Saya terima pelbagai maklum balas ramai terutama mereka yang masih berikhtiar untuk mendapatkan anak ketika mula-mula menjalani IVF.
“Pada awalnya saya sangka respons positif, sebaliknya banyak reaksi negatif terutama membabitkan wanita yang telah disahkan tidak mampu memiliki zuriat.
“Ada hati terluka. Jadi saya buat keputusan untuk tidak lagi berkongsi mengenai rawatan tersebut bagi menjaga sensitiviti umum,” katanya kepada Kosmo!.
Misha dalam pada itu berkata, beliau masih lagi dalam usaha mendapatkan zuriat dibawah kendalian doktor pakar yang sama.
“Harapan untuk saya memiliki zuriat masih bersemarak dan saya tetap akan berusaha, berlapang dada selain mendoakan supaya semuanya dilancarkan.
“Kita berusaha dan berdoa, selebihnya serahkan kepada Allah kerana Dia sebaik-baik perancang. Andai nanti ditakdirkan saya hamil, tentu boleh nampak dan takkan dapat sorok,” katanya lagi.
Penyanyi yang popular dengan lagu Bunga-Bunga Cinta itu sebelum ini pernah mendedahkan menjalani rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan untuk hamil anak kedua.
Untuk info, Misha berkahwin bersama pasangannya Firros Ezzwan Rosly, seorang juruterbang, pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 7 tahun. Misha turut mempunyai seorang anak angkat yang kini usianya 17 tahun.
Sumber: Kosmo!