Pelakon, Mawar Rahsid mengejutkan warganet selepas berkongsi dua foto tidak lagi mengenakan hijab di Instagramnya, awal pagi tadi.
Menerusi foto berkenaan, pemilik nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, dilihat memakai baju putih bersama gaya rambut yang diikat kemas.
Mawar dalam pada itu memohon maaf kerana gagal selepas mencuba.
“Saya cuba tapi saya gagal. Saya minta maaf,” ujar Mawar, ringkas.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini juga telah menutup ruang komen dan masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dibuat olehnya berhubung perkara itu.
Menjengah ke Instastories pula, Mawar memaklumkan ingin berehat seketika dan akan kembali semula apabila dia sudah bersedia.
“Selamat tinggal dunia. Akan kembali apabila sudah bersedia dari segi mental. Sentiasa sayang korang,” demikian menurut Mawar.
Terdahulu, Mawar memaklumkan dirinya terbuka hati untuk menutup aurat sepenuhnya selepas mengikuti kelas pengajian agama di Kelantan pada Ogos 2020. Katanya ketika itu, dia sudah lama menyimpan impian untuk mengenakan tudung, namun hatinya berbolak balik membuatkan dia sentiasa menangguhkan hasrat berkenaan.
Sumber: Instagram