“Saya rasa yang paling susah untuk dipujuk sekali ialah Tok Ram. Sebab ini ialah kemunculan pertamanya dalam filem. Tok Ram masih belum pernah muncul dalam mana-mana filem sebelum ini. Dia sendiri cakap perkara itu kepada saya.
Namun, kerana dia menganggap saya seperti anaknya, akhirnya dia bersetuju juga,” akui pengacara dan pelawak serba boleh, Nabil Ahmad yang baru-baru ini tampil mengembangkan bakatnya di layar perak menerusi filem pertama arahannya yang berjudul Mat Bond Malaya.
Menggandingkan penyanyi kesayangan ramai, Naqiu dan Elizabeth Tan sebagai teraju utama, Mat Bond Malaya merupakan sentuhan pertama Nabil dalam dunia pengarahan.
Kali terakhir personaliti lawak berusia 37 tahun itu tampil dengan hasil karya filemnya adalah pada 2018 dengan The Hantus. Bagaimanapun, filem terbabit merupakan hasil arahan bersama pengarah Helmi Yusof.
“Setelah The Hantus, ini merupakan filem pertama yang saya arahkan. Ceritanya memang sudah berlegar dalam kepada saya. Saya dah terbayangkannya, sehingga proses menulis skrip,” katanya yang juga menggarap skrip Mat Bond Malaya sepenuhnya.
Ditanya sekiranya dia mendapat inspirasi daripada filem Melayu klasik iaitu Mat Sentul yang menampilkan pelakon veteran, Mat Sentul, Nabil punya jawapannya yang tersendiri.
“Kita harus beri kredit kepada Mat Bond (filem), Mat Sentul, sebab sedikit sebanyak dia memang mempengaruhi kami. Tapi, apa yang kami cuba tampilkan dalam Mat Bond Malaya ini sememangnya tidak dapat dijangka, dan pastinya, lain dari yang lain.
Tambah Nabil, proses garapan skrip bagi filem Mat Bond Malaya hanya mengambil masa kira-kira dua minggu, selain tempoh penggambarannya yang hanya memakan masa selama 25 hari.
Bagaimanapun, di sebalik tempoh yang dikatakan singkat itu, tersirat satu cerita yang tidak terjangkau akalnya sendiri.
“Sebenarnya kami habis shoot kira-kira dua minggu sebelum PKP 1.0, seminggu sebelum lockdown.
“Allah memang tolong sungguh. Kami tak tahu langsung masa itu yang cerita ini akan bertukar menjadi ‘cerita sebenar’. Jadinya, kami terkejut kerana dalam cerita ini pun turut terselit unsur lockdown,” jelasnya.
Lanjutnya lagi, selain ingin menyampaikan jalan ceritanya yang tersendiri, Nabil juga mempunyai hasratnya yang lain menerusi Mat Bond Malaya. Menurutnya, dia ingin membuktikan kemampuan hasil penulisannya bagi filem itu.
“Saya bukan sekadar ingin mempamerkan lakonan semata-mata. Saya hendak menjual skrip itu sendiri. Saya nak buktikan kemampuan skrip itu.
“Saya ambil rujukan mengenai Mamat Khalid. Kebanyakan pelakonnya adalah ‘underdog’. Namun, mereka semua popular, seperti Yah Kuchai. Ia bukti skripnya bagus. Biarpun mereka bermula dengan tiada nama, namun karya Mamat Khalid berjaya menaikkan nama mereka semua.”
Berbicara mengenai perasaannya terhadap filem tersebut yang sepatutnya ditayangkan di pawagam, akui Nabil, dia berasa kecewa pada mulanya kerana tidak dapat menyaksikan hasil karya filem pertamanya itu menemui orang ramai di layar perak akibat pandemik yang melanda.
“Sebenarnya bajet kita untuk filem ini memang untuk ditayangkan di pawagam. Tambahan lagi dengan bantuan yang diberikan FINAS. Jadi, peralatan yang digunakan memang untuk filem,” jelasnya.
Namun Nabil memilih untuk kekal optimis di sebalik situasi tersebut dan akhirnya membawanya bersama pasukan produksi filem tersebut untuk menayangkan Mat Bond Malaya kepada orang ramai menerusi platform Astro First.
“Saya harap kita boleh menguar-uarkan filem ini kepada semua. Kerana objektif sebenarnya adalah, apabila kami mendapat kutipan daripada filem ini, kami ingin gunakannya bagi membantu mereka yang bekerja di balik tabir yang terkesan kerana pandemik sekarang.
“Mudah-mudahan filem ini boleh meringankan beban di hati selama 90 minit ia berlangsung,” luahnya.
Filem Mat Bond Malaya telah mula ditayangkan pada 20 Julai lalu dan boleh dilanggan menerusi saluran 480 Astro First.
Selain gandingan menarik antara Naqiu dan Elizabeth Tan sebagai teraju utama filem tersebut, Mat Bond Malay turut melihat penampilan istimewa oleh beberapa pengarah ternama tanah air iaitu Mamat Khalid, Michael Ang, Ghaz Abu Bakar dan Aziz M. Osman.