Bersempena dengan kempen Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI®, MAGGI® bakal melancarkan siri televisyen enam episod yang dikenali sebagai Resipi Berani MAGGI®.
Program tersebut bakal melihat perjalanan seramai lapan peserta yang ditapis daripada 1,000 wanita, yang juga pengusaha perniagaan kecil-kecilan dari rumah, berentap antara satu sama lain demi merangkul gelaran juara Resipi Berani MAGGI®.
Kesemua peserta tersebut termasuklah Aza Syima Abdullah, Bibiaminani A. Ghani, Haslina Mohd Idris, Mazzaton Miza Wahab, Nur Azreen Masera Albakri, Nur Hidayah Jeffri, Roslina Mohd Isa, dan Siti Aishah Abd Razak.
Turut mengujakan, siri televisyen tersebut bakal melihat gabungan tiga mentor yang terdiri daripada figura berpengaruh – pelakon, usahawan dan duta jenama MAGGI® CukupRasa, Datin Paduka Eina Azman; pengarah, penerbit dan pengusaha restoran, Sheila Rusly; dan Ikon Usahawan Muda 2019 serta pengusaha bakeri, Anne Idris – yang berkongsi tanggungjawab dalam membimbing kesemua peserta wanita dalam siri itu.
“Objektif program ini adalah untuk membantu golongan yang memerlukan dalam keadaan yang mana kita masih berada dalam pandemik COVID-19. Kita cuba untuk beri peluang kepada mereka yang mempunyai kelebihan untuk menjana pendapatan. Resipi Berani MAGGI® ini tidaklah susah atau senang sangat.
“Cuma untuk menjadikan mereka ini wanita yang berani dan penuh dengan keyakinan bukanlah semudah yang disangka,” ujar Sheila Rusly menerusi sidang media virtual sempena pelancaran siri televisyen Resipi Berani MAGGI® yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols dan Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi Nestle (M) Berhad, Geetha Balakrishna.
Pemenang tempat pertama Resipi Berani MAGGI® bakal menerima modal permulaan sebanyak RM8,000 bagi mempertingkatkan lagi bisnes sedia ada berserta program bimbingan selama 8 minggu bersama Ikon Usahawan Muda 2019, Anne Idris.
Sementara itu, pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima modal sebanyak RM5,000.
Datin Paduka Eina Azman yang juga merupakan salah seorang mentor Resipi Berani MAGGI® turut menitipkan kata-kata semangatnya yang tersendiri.
Kata beliau, “Saya hendak beritahu kepada semua di luar sana, tidak kisah muda atau tua, tidak pernah terlambat untuk belajar sesuatu yang baru. Setiap hari ialah perkara baru. Hari-hari kita belajar. Kita kena cabar diri kita untuk buat sesuatu. Kita kena berani dan tegas untuk mencapai cita-cita kita.”
Turut menambah ialah mentor Anne Idris yang mengujar, “Nasihat saya kepada wanita-wanita di luar sana, pandai atau tidak, bukan pengukur kejayaan. Tetapi kerajinan yang penting. Rajin, usaha dan tawakal.”