Penyanyi Liza Hanim akui tidak menyangka dapat meraih dua anugerah di malam kemuncak Anugerah Industri Muzik 23, baru-baru ini.
Katanya, selepas menceburi diri dalam bidang nyanyian selama 25 tahun, ini kali pertama dia rasa amat terharu dan syukur yang tidak terkata.
“Apa yang saya boleh kongsikan, saya pernah rasa putus asa untuk mendapat sebarang anugerah di AIM.
“Mula-mula memang saya letak harapan, lama-kelamaan saya tidak letak harapan kerana saingan memang benar-benar sukar.
“Dah tercalon dalam AIM pun saya dah bersyukur, tetapi AIM23 ini saya dapat dua anugerah, saya bersyukur sangat-sangat,” katanya kepada portal SYOK.
Dalam pada itu, Liza juga terasa berbesar hati membuat persembahan tribute untuk bekas majikannya di SRC Record Tan Su Loke bersama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Mr Tan ini seorang bos yang ambil berat terhadap pekerjanya, tak pernah nampak dia marah atau berkasar sepanjang saya di bawah label SRC.
“Apabila malam ini dia menerima Anugerah Wirama, bagi saya ia amat tepat kerana usaha dia memeriahkan industri muzik tempatan amat baik dan berjaya cetuskan pelbagai kejayaan di bawah pengawasannya,”
Liza Hanim raih dua anugerah di AIM 23 iaitu Persembahan Vokal Duo Terbaik Di Dalam Lagu dan Runut Bunyi Terbaik Di Dalam Filem Atau Drama dengan lagu Bahagiakan Dia.
Lagu itu Liza Hanim berkolobrasi dengan Shila Amzah.
Oleh: Syahdeen