Pelakon, Datin Lisa Surihani akui pernah menolak tawaran sebagai artis undangan bagi program mengaji kerana mendakwa bacaan Al-Qurannya masih dalam kategori merangkak.
Menurut pemilik nama sebenar Lisa Surihani Mohamed, 37, beliau terbuka hati untuk menyertai program Jom Khatam terbitan Astro Oasis pada tahun ini kerana berpendapat program itu ibarat kelas mengaji buatnya.
“Memang berdebar sebab hubungan saya dengan Al-Quran dalam kategori yang saya anggap sebagai merangkak.
“Sudah beberapa tahun dijemput tetapi saya menolak dengan dengan baik sebab segan risau apa orang cakap.
“Namun, tidak tahu kenapa terbuka hati tahun ini untuk terima dan saya anggap pengalaman seperti masuk kelas mengaji,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau terbuka dengan segala tanggapan orang ramai terhadap tahap bacaan Al-Qurannya dalam program tersebut.
Beliau juga berharap, segala usahanya yang tidak pernah berhenti belajar memperbaiki bacaan Al-Quran, walaupun ada kekurangan, dapat menjadi inspirasi kepada orang ramai.
“Saya pergi dan belajar mengaji dengan qari. Dari segi tanggapan, saya letak tepi dan doa semoga Allah terima dan reda.
“Walaupun hubungan saya dengan al-Quran perlu banyak diperbaiki dan tambah baik, saya harap itu adalah jalan untuk mendapat reda Allah.
“Moga apa yang saya lakukan ini dapat inspirasi kepada semua pihak dan menolak tepi segala rasa segan untuk jadikan al-Quran sebagai sahabat baik,” ujarnya.
Sumber: Kosmo!