Lelaki Ini Minat Menebar Roti Canai Sejak Usia 19 Tahun

Seorang warga emas berusia 65 tahun mengaku gemar menebar roti canai sejak zaman remaja lagi.

lelaki ini minat menebar roti canai sejak usia 19 tahun

Lelaki yang dikenali sebagai Jafri Sani itu berkata dia telah terlibat dalam kerjaya tersebut sejak usia 19 tahun.

Menurutnya, kerjaya terbabit sebenarnya mampu menjana pendapatan lumayan.

“Salah satu faktor kenapa saya minat menebar adalah kerana persaingan. Jika dibandingkan dengan bidang lain, ramai yang tak minat buat kerja ini. 

 “Sejak dulu lagi, kerjaya ini amat kurang diceburi belia biarpun permintaan roti canai adalah menu paling ditunggu pada waktu pagi.

“Mungkin juga sebab faktor berdiri lama, berpanas depan kuali, sarung baju biasa, kerjaya ini tidak diminati ramai. Anak muda zaman sekarang kena faham, roti canai sentiasa ada permintaan sejak dulu lagi. Jadi bila permintaan terhadap makanan ini tinggi, peluang pekerjaan dengan gaji lumayan juga pasti banyak,” katanya.

Dalam pada itu, Jafri juga berkongsi yang dia kini sedang melatih anak bongsunya, Danial Jafri bagi meneruskan kerjaya tersebut memandangkan bakat menebarnya sudah mula terserlah.

“Rancangan itu dah ada cuma tunggu masa yang sesuai untuk serahkan kuali pencanai ini kepada anak. Dia masih bekerja di sebuah syarikat swasta dan saya pula tidak memaksa untuk ambil alih tugas saya.

“Bila dia dah bersedia, saya berbesar hati untuk tinggalkan kerjaya lama yang amat saya cintai ini,” katanya.

  

Sumber: Astro AWANI