Pulau Langkawi sekali lagi menjadi destinasi pilihan bagi melaksanakan Gelembung Pelancongan Antarabangsa dan akan dibuka kepada semua pelancong tanpa dihadkan kepada mana-mana negara.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kebenaran itu susulan terdapat prosedur ketat yang akan dilaksanakan untuk mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 di pulau pelancongan itu.
"Prosedur ini termasuklah memastikan dia (pelancong) mesti datang menggunakan khidmat ejen pelancongan yang berdaftar dengan kementerian.
"Ejen ini yang akan mengatur semua perjalanan dan mereka tidak datang terus ke Langkawi secara peribadi. Ini mekanisme yang kita gunakan kerana kalau ada apa-apa terjadi seperti berlakunya kes, ejen itu yang akan bertanggungjawab," kata beliau.
Menurut beliau, gelembung pelancongan antarabangsa ini diperkenalkan bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
"Pada masa sama, perkembangan di Langkawi ini akan menjadi model kepada kita untuk meneliti kelakuan (behaviour) pelancong dalam membantu membendung penularan COVID," katanya.
Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 November depan dengan pematuhan beberapa prosedur operasi standard (SOP). Antaranya adalah pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi COVID-19.
Sumber: [1]