Satu Lagi Kes Positif Koronavirus, Mangsa Pernah Melawat China

satu lagi kes positif koronavirus, mangsa pernah melawat china

10 Februari- Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan media memaklumkan seorang lelaki berumur 31 tahun didapati positif novel Coronavirus.

Menurut kenyataan itu, beliau bekerja di Macau, China dan mempunyai sejarah perjalanan ke tanah besar China sebelum kembali ke Malaysia pada 1 Februari 2020.

Pada awalnya, lelaki tersebut merasa kurang sihat dan batuk pada 3 Februari. Kemudian, dia telah mendapatkan rawatan di klinik dan diberi ubat pada 4 dan 6 Februari. Bagaimanapun, beliau sekali lagi mendapat rawatan di Klinik Kesihatan pada 7 Februari apabila merasa masih tidak sihat.

Setelah itu, kes tersebut dirujuk ke Hospital Banting, Selangor. Ujian saringan dan hasil siasatan mendapati dia telah mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan telah dimasukkan ke hospital itu.

Selepas melakukan pemeriksaan seterusnya, dia didapati mengidap Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan memerlukan bantuan rapi. Disebabkan oleh itu, dia telah dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital telah bertindak dengan merawat dan melakukan siasatan lanjut.

Hasil sampel klinikal yang dimiliki oleh pesakit telah disahkan positif 2019-nCov pada 9 Februari. Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah bertindak dengan melakukan siasatan, mengesan kontak rapat, langkah pencegahan dan kawalan.

Dengan pengesahan ini, bilangan kes yang disahkan positif 2019-nCov melibatkan rakyat tempatan berjumlah 18 kes setakat ini.

 

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia