Hujung minggu lalu telah menjadi saksi kehebatan ratu rock negara, Ella yang selesai mengadakan konsert ‘JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA’ bertempat di Arena Axiata Bukit Jalil.
Konsert yang dianjurkan selama dua hari itu menyaksikan ribuan peminat yang hadir bersama-sama berhibur bersama Ella, dalam konsert anjuran bersama oleh Hitman Solutions dan syarikat pengurusan Ella iaitu RockQueen.
Para peminat, rakan media dan rakan artis nyata tidak berganjak dari tempat duduk mereka dari mula sehingga habis konsert yang julung kali diadakan ini.
Ella telah menyanyikan lagu-lagu hit yang pernah menjuarai carta muzik, antaranya Sembilu, Pengemis Cinta, Tiada Tangis Lagi, Kesal, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Cinta Selembut Sutera, Dua Insan Bercinta, Standing In The Eyes Of The World, Peace Love Rindu dan banyak lagi, berjumlah 35 buah lagu kesemuanya, mewakili 35 tahun Ella dalam industri muzik.
Ella juga kejutkan peminat dengan penampilan khas oleh Amy Search yang turut menghiburkan peminat.
Set up konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota telah direka khas untuk Ratu Rock, menggambarkan perjalanannya sebagai seorang artis. Hitman Solutions mereka pentas berinspirasikan kepingan-kepingan puzzle yang dicantumkan.
Apa yang menarik, Ella juga telah mencipta sejarah dan direkodkan dalam Malaysian Book of Records sebagai artis tempatan yang pertama habis menjual tiket konsert dalam tempoh 24 jam di Arena Axiata Bukit Jalil.
“Alhamdulillah, pertama sekali syukur di atas semua nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Kelu lidah untuk saya ungkapkan perasaan ketika ini, malam ini terpahat sebagai memori yang sememangnya manis setelah bergelar penghibur sepanjang 35 tahun dalam karier saya, saya juga teruja dengan sambutan luar biasa dari semua penonton dan peminat yang hadir.
“Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Hitman Solutions dan Rockqueen di atas penganjuran hebat, dan penghargaan saya semestinya buat semua peminat yang sudi hadir ke konsert pada malam ini. Saya tidak akan berada di sini tanpa sokongan anda semua, yang sedari awal telah banyak menyokong sehinggalah ke hari ini.
“Jangan gusar dan risau, doakan agar saya dapat terus sentiasa mewarnai dunia anda selagi mana diizinkan.
“Insya-Allah, semoga kita dapat berjumpa lagi di siri konsert berlainan yang akan datang. Peace, love, rindu,” demikian menurut Ella.