Penyanyi, Khai Bahar meluahkan rasa ralat kerana tidak berada disisi pada detik akhir pemergian ibunya, Allahyarham Rosnah Muhammad, pada malam kelmarin.
Bagaimanapun pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 29, ini redha berdepan kehilangan besar dalam hidupnya dan keluarga.
“Tak tahu nak cakap apa tapi rasa kosong sebaik dimaklumkan berita tersebut. Ralat tiada di sisinya sebab saya di Pulau Langkawi.
“Selepas dibantu kenalan yang mencarikan bot, saya sampai di rumah di Kangar sekitar pukul 2 pagi tadi,” katanya.
Baca: Ibu Khai Bahar, Mak Ros Meninggal Dunia di Kangar, Perlis. Al-Fatihah
Difahamkan, ibu kepada enam anak itu menghidap pelbagai penyakit seperti buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati, sebelum menghembuskan nafas terakhir dalam tidur pada jam 10.40 malam.
Allahyarham sebelum ini pernah menjalani rawatan dialisis dan dimasukkan ke ICU Hospital Kuala Lumpur berikutan masalah sesak nafas sekitar September 2023.
Urusan solat jenazah disempurnakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, Kangar, pada jam 12.15 tengah hari, 3 Januari.
Sumber: Kosmo! / Instagram