Malaysia Catat Kes Harian Tertinggi, Jumlah Kumulatif Kini 1.34 Juta Dijangkiti

Malaysia sekali lagi mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 21,668 kes pada 12 Ogos 2021, angka tertinggi sejak pandemik itu melanda negara.

 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak COVID-19 di Malaysia mencecah 1,342,215 kes.

 

Daripada 21,668 kes harian yang dilaporkan, sebanyak 440 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Manakala sebanyak 21,228 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Secara keseluruhan, hanya 2,720 kes (12.6 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini telah lengkap di vaksinasi iaitu yang telah lengkap dua minggu selepas dos kedua vaksinasi.

malaysia catat kes harian tertinggi, jumlah kumulatif kini 1.34 juta dijangkiti

Tambah lagi, terdapat 318 kes kematian dilaporkan yang mana melibatkan 118 kes di Selangor, 52 kes di Johor, 45 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 28 kes di Sabah, 19 kes di Kedah, masing-masing 10 kes di Pulau Pinang dan Melaka, sembilan (9) kes di Perak, lapan (8) kes di Pahang, tujuh (7) kes di Negeri Sembilan, serta masing-masing empat (4) kes di Sarawak, Kelantan, dan Terengganu.

malaysia catat kes harian tertinggi, jumlah kumulatif kini 1.34 juta dijangkiti

Dalam perkembangan sama, setakat 11 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.06. Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis (nilai RT 1.40) diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kelantan (masing-masing nilai RT 1.23), serta Sabah dan Pulau Pinang (nilai RT 1.16). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

 

Sumber: KKM