Pelakon, Keith Foo memilih untuk tidak mementingkan diri dan mengekalkan hubungan baik bersama bekas isteri, Kim Raymond, sejak mereka berpisah tiga tahun lalu.
Menurut pemilik nama sebenar Foo Chuan Chin, 41, setiap pasangan perlu merendahkan ego masing-masing agar tidak bergaduh di kemudian hari terutamanya perkara berkaitan anak.
“Kami sama-sama matang. Walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, kami masih ibu bapa kepada satu-satunya puteri kami yang kini sudah berusia enam tahun.
“Tidak perlu bergaduh berebut anak atau perkara tidak sepatutnya. Kita yang inginkan anak ini, pada akhirnya perlu bertolak-ansur dan banyak berbincang.
“Apa pun yang terjadi antara kita, jangan libatkan anak dalam konflik, berbaiklah sebagai kawan serta sama-sama besarkan mereka. Mental anak perlu dijaga,” katanya.
Beliau yang membawa watak Ammar Arafat dalam drama bersiri Layang-Layang Perkahwinan di Astro Ria itu juga mengakui belum terfikir untuk menamatkan zaman duda dan bahagia dengan kehidupannya sekarang.
“Setakat ini saya tidak mencari pengganti kerana masih seronok menjalani aktiviti harian, selain bersyukur ada kerja, dapat melancong, berkhemah dan sebagainya.
“Kalau nak ke fasa seterusnya pun saya tak memilih atau meletakkan syarat tertentu, tetapi kena ambil kira perasaan anak walaupun dia masih terlalu kecil.
“Asalkan anak selesa dengan si dia, sebab kalau letak banyak kriteria nanti takut pula akhirnya tiada keserasian. Jadi, tak guna terlampau cerewet,” katanya lagi.
Terdahulu, Keith Foo pernah mendirikan rumahtangga bersama model, Kim Raymond pada Nov 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Skylar. Namun, perkahwinan mereka tidak berkekalan apabila sah bercerai pada Disember 2019.
Sumber: Kosmo!