Penduduk setempat yang berada di sekitar Kuala Perlis rata-ratanya terkejut dengan kehadiran sebuah kapal mewah berbentuk seakan sebuah kapal angkasa pada Sabtu.
Kapal layar mewah jenis Adastra itu berada di kawasan berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari nyata telah mencuri perhatian ramai, termasuk warganet.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris) Jasni Hashim berkata muara sungai itu sememangnya menjadi laluan pelbagai jenis bot dan kapal namun kehadiran kapal mewah Adastra yang bernilai sekitar AS$45 juta (RM200,014,605) adalah pertama kali berlaku dan dilihat oleh penduduk setempat.
"Kehadiran kapal mewah itu seperti bentuk sebuah kapal angkasa memang mengejutkan penduduk dan nelayan yang berada di sekitar kawasan tersebut.
"Difahamkan kapal ini datang dari luar negara dan kita tidak pasti dari negara mana.
"Kapal layar ini bergerak melalui muara Sungai Perlis dan menuju ke dermaga Perlis Marine Engineering (PME) Sdn Bhd bagi tujuan membaiki kapal tersebut," katanya.
Kapal itu juga telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia untuk melalui kawasan tersebut sebelum ia berlabuh di Kampung Tengah, Kuala Perlis.
Kehadiran kapal itu bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang masalah serta gangguan kepada aktiviti penduduk setempat.
Sumber: Astro AWANI