Pelakon Emma Maembong mengejutkan orang ramai selepas mendedahkan dia sudah bercerai dengan bekas suaminya secara baik.
Menurut Emma, dia kini sudah tamat menjalani tempoh idah dan memilih untuk tidak menghebohkan berita ini kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.
“Ya kami sudah bercerai dan saya sudah tamat tempoh idah.
“Saya sebolehnya cuba menutup kisah peribadi saya walaupun saya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan media sebelum ini,” katanya.
Namun, Emma tidak mahu mendedahkan apa punca utama mengenai penceraian mereka.
“Bagi saya, perpisahan ini bukan satu berita yang patut dibanggakan dan sebab itu saya mengambil langkah berdiam diri dan tidak bercerita kepada orang luar atau buat sebarang pengumuman.
“Namun, disebabkan hari ini saya menerima panggilan anda (media), saya rasa sudah tiba masanya untuk beritahu kepada umum supaya ia tidak lagi ditanya.
“Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh,”katanya lagi.
Sumber: Kosmo