Pelakon Betty Rahmad akui kecewa dengan komen negatif netizen berkaitan majlis ilmu dianjurkannya baru-baru ini.
Betty menggesa netizen untuk memandang usaha mencari ilmu agama dari sudut positif, bukannya menghukum atau mengecam membuta tuli.
“Saya dapat banyak komen negatif tentang majlis ilmu yang saya anjurkan, antaranya kata majlis itu untuk artis sahaja dan tuduh saya atau kawan-kawan tak tutup aurat dengan sempurna.
“Kena ingat, saya dan kawan-kawan seperti Nora Danish pun pernah berada di tempat mereka sebelum ini. Kami juga pernah jahil, banyak benda yang tak tahu.
“Tapi kenapa tak boleh pandang perkara ini secara baik dan positif daripada tengok yang negatif,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Menurut Betty lagi, tujuan utama majlis itu adalah untuk memberi peluang kepada kawan-kawan selebriti yang mungkin susah untuk menghadiri kelas agama secara terbuka.
“Saya memang sasarkan artis sahaja kerana mereka mungkin takut untuk pergi kelas agama luar. Mereka bimbang tidak diterima atau dikecam.
“Jadi, saya sediakan ruang supaya mereka boleh belajar perlahan-lahan tanpa rasa tertekan,” jelasnya.
Sumber: Kosmo