Kaitan Lagu Sinaran Dengan Ultras KL City

Baru-baru ni, viral video Ultras KL menyanyikan lagu 'Sinaran’ ketika meraikan kejayaan Kuala Lumpur City mara ke final Piala AFC Antara Zon. Lagu 'evergreen' dendangan Datuk Sheila Majid itu kalau dinyanyikan tanpa sebab pun sedap kan? Inikan pulak kalau dinyanyikan sebab meraikan sesuatu.

Jadi, timbul persoalan kenapa lagu 'Sinaran' ni jadi pilihan Ultras KL? Kenapa bukan lagu 'Senyumlah Kuala Lumpur' dendangan Alleycats? Atau 'Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur' nyanyian Malek Redzuan? Kalau korang tak tahu lagi ni, maknanya korang terlalu muda. Hahaha. Kalau nak 'reference' yang muda sikit, kenapa tak nyanyi lagu 'Kotarayaku' yang Altimet dan Noh Hujan nyanyi? Kalau tak nak nyanyi lagu 'Kuala Lumpur' nyanyian Too Phat tu kita faham la. Struggle nak bawak part rap tu.

Ok, serius. Ada cerita sebenarnya kenapa lagu 'Sinaran' ni yang jadi pilihan mereka. Tapi untuk mengetahui kisah sebenarnya, kita kena naik mesin masa untuk kembali ke tahun 2015. Jom!

kaitan lagu sinaran dengan ultras kl city

Kuala Lumpur kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana pada 2015. Tahun sebelumnya, mereka beraksi di Liga FAM. Rata-rata penyokong mengharapkan Kuala Lumpur berjaya mengekalkan status sebagai pasukan Liga Perdana. Namun selepas 14 perlawanan, harapan tersebut pudar. Mana taknya. Kuala Lumpur hanya menang 3 perlawanan dan 2 seri dalam tempoh tersebut. Selebihnya kalah!

Kemuncak kekecewaan penyokong Kuala Lumpur tiba pada bulan Ogos 2015. Kuala Lumpur berdepan Kuantan FA di Stadium Merdeka. Mereka perlu menang untuk cerahkan peluang kekal dalam saingan Liga Perdana musim berikutnya. Tapi Kuantan FA berjaya mendahului perlawanan 2-0. Maknanya, Kuala Lumpur akan kembali beraksi dalam Liga FAM la tahun 2016!

kaitan lagu sinaran dengan ultras kl city

Sebaik Kuantan memperoleh gol kedua, penyokong Kuala Lumpur terus masuk ke padang dan mengganggu perlawanan sebagai tanda tidak puas hati. Perlawanan masih berbaki 10 minit ketika itu dan pengadil menghentikan perlawanan. Banyak 'flare' yang dibakar dan dibaling ke dalam padang pada waktu itu.

kaitan lagu sinaran dengan ultras kl city

Namun kekecewaan penyokong Kuala Lumpur tidak lama. Ini kerana pasukan jemputan, Lions XII yang beraksi di Liga Super mengumumkan tidak akan lagi bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim depan. Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Lions XII, T-Team (sekarang TFC II) layak mendapat promotion ke Liga Super selepas melalui aksi play-off. Maknanya, 3 pasukan Liga Perdana mendapat promotion ke Liga Super musim depan termasuk juara, Kedah dan naib juara, Pulau Pinang.

Kuala Lumpur pula yang menamatkan liga di tangga kedua tercorot dikekalkan dalam Liga Perdana kerana menggantikan tempat T-Team. Kira bernasib baik la Kuala Lumpur ni.

kaitan lagu sinaran dengan ultras kl city

Selepas daripada tahun itu, Kuala Lumpur memperbaiki prestasi mereka. Musim 2016 menyaksikan mereka menamatkan saingan liga di tangga ke-5. Pada 2017 pula, mereka menjuarai Liga Perdana dan mendapat 'promotion' ke Liga Super! Pada tahun inilah Paulo Josue dan Guilherme de Paula beraksi untuk Kuala Lumpur.



2 tahun selepas insiden buruk di Stadium Merdeka, satu kumpulan penyokong Kuala Lumpur muat naik video klip karaoke lagu 'Sinaran' dan memasukkan visual insiden rusuhan yang berlaku. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk mengingatkan semua pihak bahawa dalam tempoh 2 tahun, Kuala Lumpur berjaya mengubah nasib daripada pasukan yang sepatutnya terjerumus ke Liga FAM dapat menjuarai Liga Perdana.

Tajuk lagu tersebut juga merupakan simbolik kepada situasi Kuala Lumpur. 'Sinaran' yang dimaksudkan itu berjaya membantu Kuala Lumpur keluar daripada zaman gelap mereka di Liga Perdana.

Teringat ku di masa lalu
Bersenda di taman yang indah
Sungguh riangnya di hatiku
Kerna kini kita berjaya

Citaku tercapai
Punyai kebebasan
Dan dikau berjaya, telah berjaya


Cukup sempurna bait-bait lagu yang dinyanyikan Datuk Sheila Majid. Kena situasinya dengan Kuala Lumpur dan penyokongnya. Sejak 2017 ini juga, Ultras Kuala Lumpur kerap menyanyikan lagu ini apabila mereka meraih kejayaan.

Seperti yang kita boleh tengok dalam video yang viral ni...
 

@astronews1 Meriah ..jangan tak meriah! penyokong terus meraikan kejayaan #KLCityFc layak ke final #pialaafc2022 inter-zonal playoff . Tahniah #KL #astronews #fyp #viral #afccup #pialaafc2022 #trending #sampaimatikualalumpur ♬ original sound - Astro News


Itulah kisahnya kenapa lagu 'Sinaran’ ni dinyanyikan oleh Ultras Kuala Lumpur.

 

Oleh : Karami Kamel