Lebih 100 pasangan yang dinikahkan menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah sejak sebulan yang lalu, kini diminta untuk tampil segera ke Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi membantu siasatan.
Ia susulan terbongkarnya jurunikah tanpa tauliah oleh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais apabila menahan seorang bekas kakitangan awam di sebuah premis di Puncak Alam Shah Alam, minggu lalu.
Menurut Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sekiranya mahkamah syariah mendapati pernikahan yang dilakukan oleh jurunikah itu tidak sah, maka perkahwinan boleh terbatal.
"Kalau mahkamah syariah mendapati pernikahan itu sah, pasangan terbabit perlu mendaftarkan perkahwinan dan membayar denda, jika tidak sah, perkahwinan itu terbatal," katanya.
Bagaimanapun, setakat ini Jais perlu menjalankan siasatan terhadap semua pasangan bagi menentukan sama ada pernikahan dijalankan adalah sah dari segi syarak atau pun sebaliknya. Jika didapati pernikahan itu tidak sah, maka pasangan pengantin perlu melakukan proses selanjutnya sama ada bernikah semula atau perlu mengambil tindakan lain.
Jurunikah tanpa tauliah berusia 50-an itu telah meraih sehingga RM50,000 dengan menjalankan kegiatan itu di beberapa lokasi di seluruh negara sejak sebulan yang lalu. Bagaimanapun kegiatan itu berjaya dibongkar Jais selepas menyerbu sebuah premis di Puncak Alam, Kuala Selangor, minggu lalu.
Sumber: HMetro