Julia Farhana atau nama sebenarnya Juliana Farhana Marin mengesahkan dirinya kini sudah tampil bertudung.
Malah pelakon berdarah campuran Melayu-Itali itu juga sudahpun memadamkan foto dan video lama dirinya yang menampakkan rambut.
Dalam satu hantaran di Instagram, Julia turut menjelaskan rakaman yang dikongsinya adalah dibuat sebelum dirinya bertudung.
“Disclaimer : Rakaman ini dibuat sebelum Ju (Julia) bertudung,” demikian menurut beliau dalam video kempen promosi barangan perabot serta dekorasi kediaman sempena Aidilfitri.
Hantaran itu juga terpaksa dibuat atas dasar tuntutan kerja promosi yang telah dipersetujui lebih awal.
“Saya patuh kepada tanggungjawab terhadap kolaborasi ini mengikut hantaran yang sudah dijadualkan awal,” tulisnya lagi.
Menjengah ke laman Instagram Julia Farhana, hanya beberapa foto dibiarkan untuk tatapan peminat termasuklah foto bersama suami tercinta, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada hari pernikahan mereka.
Terdahulu, Julia dan Dr Che Hafiz telah selamat menjadi suami dan isteri pada 14 Disember tahun lalu. Selepas sebulan bernikah, Julia memaklumkan dia sudah bersedia untuk bertudung, namun meminta orang ramai untuk terus mendoakannya.
Sumber: Instagram Julia Farhana