RM2.5 Juta Sasaran JPJ Johor Bagi Bidaan Nombor Plat JUN

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor meletakkan sasaran kutipan sehingga RM2.5 juta bagi bidaan nombor plat kenderaan siri JUN yang akan mula dibuka untuk bidaan mulai 13 Februari ini.

rm2.5 juta sasaran jpj johor bagi bidaan nombor plat jun

Bidaan menerusi sistem bidaan nombor pendaftaran atas talian JPJeBid itu akan dibuka sehingga 17 Feb dan keputusannya akan dikeluarkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh akhir bidaan ditutup iaitu 18 Feb.

 

"Pembida boleh membida di mana-mana sahaja, dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia, penduduk tetap, jabatan kerajaan dan syarikat yang berdaftar di negara ini.

"Pendaftaran di sistem JPJeBid boleh dilakukan secara kendiri oleh pembida di laman sesawang https://jpjebid.jpj.gov.my/ebid. Hanya mereka yang tidak pernah mempunyai rekod dengan sistem JPJ seperti kenderaan berdaftar, lesen memandu atau saman sahaja dikehendaki hadir membuat pendaftaran di mana-mana pejabat JPJ kecuali Pusat Transformasi Bandar (UTC)," kata JPJ Negeri Johor menerusi satu kenyataan.

rm2.5 juta sasaran jpj johor bagi bidaan nombor plat jun

Tempoh 12 bulan dari surat tawaran diberikan kepada mana-mana nombor yang berjaya dibida untuk didaftarkan pada sesebuah kenderaan dan pendaftaran boleh dilakukan di mana-mana pejabat JPJ Negeri dan Cawangan.

 

"Setakat ini JPJ Johor sudah mengutip RM24.83 juta sejak sistem bidaan ini pertama kali digunakan pada 21 Ogos 2019 bagi siri JTR. Sekiranya pelanggan menghadapi sebarang masalah berkaitan bidaan nombor pendaftaran siri JUN ini, mereka boleh emelkan ke aduan.jpjebidjdt@jpj.gov.my," menurut kenyataan itu.

 

Sumber: Astro Awani / BERNAMA