Lepas Setahun Akhirnya Peminat Kini Boleh Ke Stadium!

Dah setahun peminat bola sepak tempatan tidak dibenarkan ke stadium untuk menonton aksi Liga Malaysia disebabkan COVID-19. Bukanya tak boleh tengok di TV, laptop atau smartphone, cuma perasaan tengok di stadium ni jauh berbeza. Yang selalu pergi stadium tu faham la kan?

lepas setahun akhirnya peminat kini boleh ke stadium!

Tenang semua! Mulai 1 April ini, anda semua dah boleh kembali ke stadium. Ini bukan April Fool atau ‘cobaan’. “Ini betul-betul" bak kata Pendekar Mustar dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengesahkan perkara ini. Tapi bukan lah semua boleh pergi stadium, ada syarat dan SOP yang perlu dipatuhi. Sebab pandemik COVID-19 ni belum tamat.

Antara syarat yang disebut Datuk Seri Ismail Sabri ialah bagi kawasan PKPB, kehadiran penyokong hanyalah 10 peratus daripada kapasiti stadium atau 2 ribu orang. Manakala bagi kawasan PKPP pula 25 peratus kapasiti atau 8 ribu orang dibenarkan masuk.

lepas setahun akhirnya peminat kini boleh ke stadium!

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican ucapkan selamat kembali ke stadium buat penyokong bola sepak. Tapi penonton bukan boleh masuk untuk semua perlawanan tahu? Untuk permulaan, hanya 2 perlawanan dibenarkan iaitu aksi JDT berdepan Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 2 April dan perlawanan antara Kuala Lumpur City FC dengan Sabah FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 3 April. Kedua-dua perlawanan ini akan dijadikan sebagai projek perintis atau perlawanan percubaan untuk kemasukan penonton ke stadium. Ia bertujuan untuk memastikan kelancaran SOP.

Kepada penyokong semua, ini antara berita yang ditunggu-tunggu selama setahun ni kan? Bila dah dapat kebenaran ni janganlah disalahgunakan pulak. Sila patuhi SOP yang ditetapkan dan jangan pecahkan gelembung sukan yang telah dilaksanakan. Takkan kita nak tangguh lagi saingan Liga Malaysia ni kan?

 

Oleh: Karami Kamel