Jelajah Berbasikal Kian Diiktiraf Di Malaysia

jelajah berbasikal kian diiktiraf di malaysia

Sukan berbasikal semakin berkembang di Malaysia, tidak kiralah sama ada basikal tolak (Push Bike) untuk si kecil, BMX, basikal bukit (Mountain Bike), basikal trek (Track Cycling) atau basikal jalan raya (Road Bike).

Aktiviti riadah berbasikal terutama basikal bukit dan basikal jalan raya juga kian diminati ramai apatah lagi dengan tawaran harga basikal mampu milik pada masa kini.

Setiap tahun ada sahaja acara berbasikal dilangsungkan di Malaysia terutama basikal jalan raya, bagi mencungkil bakat selain memperkenalkan destinasi menarik tanah air di mata dunia.

Jom! kita lihat, acara berbasikal jalan raya yang ada, yang pernah dan bakal dianjurkan di Malaysia.

JELAJAH MALAYSIA

jelajah berbasikal kian diiktiraf di malaysia

Perlumbaan basikal tertua di Malaysia berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia UCI ini kali terakhir dianjurkan pada 2017.

Jelajah Malaysia kebiasaannya menjadi platform kepada pelumba-pelumba muda negara menimba pengalaman.

Anuar Manan dan Mohamed Harrif Saleh masing-masing pernah muncul pelumba pecut terbaik perlumbaan sebanyak 3 kali.

Suhardi Hassan dan Loh Sea Keong pula pernah muncul juara keseluruhan jelajah ini masing-masing pada tahun 2004 dan 2013.

LE TOUR de LANGKAWI

jelajah berbasikal kian diiktiraf di malaysia

Perlumbaan paling berprestij di Asia ini bermula di Langkawi pada 1996 menerusi cetusan idea Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mendapat status perlumbaan 2.HC daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa, kelas kedua tertinggi untuk perlumbaan berperingkat.

Pelumba Itali, Andrea Guardini cipta rekod tersendiri apabila muncul pemenang peringkat sebanyak 24 kali sejak 2011.

Anuar Manan dinobat pelumba pecut terbaik pada edisi 2010 selain memenangi satu peringkat perlumbaan pada tahun tersebut.

TOUR de SELANGOR

jelajah berbasikal kian diiktiraf di malaysia

Perlumbaan lima peringkat ini bermula dari 17 hingga 21 Oktober 2017, membabitkan jarak keseluruhan 558.4 kilometer.

Tour de Selangor mendapat status perlumbaan 2.2 oleh UCI dan ia merupakan sebahagian daripada kalendar Jelajah Asia.

Paling menarik apabila kesemua pemenang jersi-jersi utama dalam jelajah ini jadi milik pelumba Malaysia.

Juara keseluruhan jadi milik pelumba kelahiran Perak, Muhammad Zawawi Azman dari pasukan Team Sapura Cycling.

TOUR de ISKANDAR JOHOR

jelajah berbasikal kian diiktiraf di malaysia

Jelajah sulung ini dijadual melibatkan lima peringkat perlumbaan sebelum dipendekkan kepada tiga peringkat sahaja dari 17 hingga 19 April 2019.

Penganjur berkata, pengurangan peringkat perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia UCI ini terpaksa dibuat ekoran masalah kewangan.

Ia tetap diteruskan bagi mengelak imej perlumbaan berbasikal tanah air tercalar selain atas sifat tanggungjawab penganjur.

Juara keseluruhan jadi milik pelumba Jerman, Mario Vogt dari pasukan Team Sapura Cycling.


TOUR of SARAWAK

jelajah berbasikal kian diiktiraf di malaysia

Perlumbaan empat peringkat berstatus 2.2 di bawah kalendar Jelajah Asia UCI ini dijadual berlangsung dari 16 hingga 19 Mac 2016 di Miri, Sarawak.

Namun ia menjadi acara paling memalukan apabila dibatalkan pada saat-saat akhir tatkala sebahagian besar pasukan dan pelumba tiba di Sarawak.

Pihak penganjur mengaku berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa membuat keputusan drastik membatalkan jelajah itu.

Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin mahu penganjur terbabit disenarai hitam daripada sebarang acara sukan di Malaysia.

TOUR of PENINSULAR

jelajah berbasikal kian diiktiraf di malaysia

ToP 2019 merupakan siri jelajah berbasikal terbaru dianjurkan di Malaysia berstatus 2.1 dalam kalendar Jelajah Asia UCI.

Berada di penghujung kalendar UCI, Tour of Peninsular bakal menawarkan kutipan mata yang besar untuk pasukan-pasukan bertanding.

Ia membabitkan lima peringkat perlumbaan, bermula di Terengganu sebelum menuju ke Kelantan, Perak, Pahang dan berakhir di Kuala Lumpur.

Sebanyak 20 pasukan bakal mengambil bahagian pada jelajah sulung ini yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 19 Oktober 2019.

LE TOUR de FEMINA

jelajah berbasikal kian diiktiraf di malaysia

Jelajah yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 21 November ini merupakan perlumbaan berbasikal wanita pertama yang dianjurkan di Malaysia.

Perlumbaan berstatus 2.1 (WE) UCI ini membabitkan enam peringkat dengan jarak keseluruhan sejauh 719.9 kilometer.

Ia dijangka menarik penyertaan daripada pelumba dan pasukan wanita ternama dunia dari Eropah, Oceania, Amerika dan Asia.

Ketika ini terdapat 23 perlumbaan elit wanita dalam kalendar Jelajah Dunia UCI manakala 30 lagi berstatus 2.1 dan ke bawah.
 

Oleh: Shah Rahimin