Tak Pernah Tengok AF, Isteri Shahir Mengaku Tidak Pernah Tahu Suami Seorang Artis

Isteri kepada bekas bintang Akademi Fantasia 8, Shahir mengaku yang dirinya langung tidak tahu-menahu bakal suaminya adalah seorang artis semasa awal perkenalan mereka pada Mei lalu.

tak pernah tengok af, isteri shahir mengaku tidak pernah tahu suami seorang artis

Wanita yang dikenali sebagai Jaskin Jaludin itu berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas mereka mengambil keputusan untuk melangkah ke alam perkahwinan dan mengikat pertalian sah.

“Ketika awal perkenalan, saya tidak tahu bahawa suami merupakan seorang artis. Saya tak tengok pun rancangan Akademi Fantasia (AF).

“Saya dapat tahu dia (suami) seorang penyanyi bila ternampak profil dalam Instagram dia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahir turut berkongsi yang dia tidak perasan profil Instagram peribadinya meneterakan status ‘artis’ ketika awal perkenalan mereka.

“Bila isteri sudah tahu saya seorang penyanyi, saya tanya pada dia sama ada sanggup atau tidak untuk terpalit dengan liku-liku dan onak duri dalam industri selepas berkahwin nanti?

“Bila dia berkahwin dengan saya (artis), sedikit sebanyak isteri akan terkena juga tempias dunia selebriti. Alhamdulillah, isteri saya seorang yang kuat dan sanggup melaluinya,” kata penyanyi berusia 34 tahun itu.

Menurut pelantun lagu “Kebahagiaan Dalam Perpisahan” itu, isterinya merupakan seorang wanita yang punya nilai hati yang sangat suci.

“Isteri saya memiliki nilai hati yang sangat suci. Siapa yang mengenali Jaskin akan tahu nilai hati dia.

“Bahkan isteri saya juga seorang yang lucu dan menghiburkan. Saya bukan sahaja mencari seorang isteri, tetapi juga seseorang yang boleh dijadikan teman,” ujarnya.


Sumber: Kosmo

ARTIKEL BERKAITAN