Iringan Terakhir Buat Jenazah COVID-19

Sering kali, bacaan Al-Fatihah menjadi ‘hadiah terakhir’ yang mengiringi jenazah pesakit COVID-19 tatkala diusung sehingga menuruni liang lahad.

iringan terakhir buat jenazah covid-19

Begitulah perkongsian memilukan oleh seorang penggali kubur, Yazrul Ekhzan yang berusia 42 tahun.

“Memang rasa ralat apabila lihat waris mangsa COVID-19 tidak dapat menyentuh, menatap, mencium jenazah, buat kali terakhir. Ada ahli keluarga datang mengiringi van jenazah, tetapi tidak boleh datang dekat di kawasan perkuburan, kerana prosedur operasi standard (SOP)  dalam membendung risiko jangkitan,” kongsinya.

Yazrul yang merupakan kakitangan Unit Kecil Perkuburan dan Krematorium Perbadanan Putrajaya turut meluahkan ia menjadi ‘terlalu sunyi’ ketika menguruskan jenazah pesakit COVID-19 berikutan tiada waris yang dibenarkan berada di tanah perkuburan, untuk sama-sama mengiringi perjalanan terakhir si mati.

Berbicara mengenai kerjanya sebagai penggali kubur, yang ada kalanya seperti kurang diambil perhatian oleh masyarakat, Yazrul bagaimanapun mengakui bahawa perkara itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya bersama rakan-rakan lain yang turut menjalankan amanah tersebut.

“Biarlah ‘jasa tidak didendang’ asalkan, ‘rumah terakhir’ arwah dapat diuruskan dengan sebaiknya,” luahnya yang kini hampir memasuki enam bulan bertugas sebagai penggali kubur.

Jelasnya lagi, setiap kali beliau dan rakan-rakan lain menerima tugasan yang diamanahkan, mereka akan segera bergerak ke tanah perkuburan untuk melakukan kerja penggalian.

Menurutnya, ia adalah untuk membolehkan jenazah diuruskan dengan segera, bagi mengelakkan risiko penularan virus.

Tambahnya lagi, “Kerja berpasukan amat penting, terutama dalam memberi sokongan mental kerana kami terpaksa menghadapi cuaca yang tidak menentu, terutamanya ketika panas terik atau hujan yang terlalu lebat.

“Namun dalam apa jua keadaan, semuanya harus diuruskan dengan pantas, kerana kita tidak boleh terlalu lama dengan jenazah. Apa yang boleh kami lakukan ketika itu adalah, sentiasa berdoa semoga urusan jenazah dapat dipermudahkan dan dikebumikan segera,” katanya.

Berikutan situasi COVID-19 yang kelihatannya masih lagi belum berpenghujung, beliau akui berasa sedih apabila melihat segelintir masyarakat yang masih belum menyedari betapa bahayanya virus COVID-19. Tambah pula, ada yang mengambil mudah dengan SOP yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Luahnya, hanya mereka yang telah kehilangan orang yang disayangi akibat COVID-19 yang tahu bahawa wabak terbabit bukanlah sesuatu yang patut diambil mudah, dan tidak mustahil, suatu hari nanti, ada antara mereka yang mengambil mudah dengan wabak tersebut terpalit dengan situasi yang sama, mengenangkan keadaan kritikal yang dialami negara sekarang.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN