Pelakon Datin Intan Najuwa akui tidak selesa apabila dituduh bermewah menggunakan duit suaminya sebaliknya bertegas dia menggunakan duit hasil kerja kerasnya sebagai anak seni untuk berbelanja.
Menurutnya, dia tidak perlu bergantung kepada suaminya kerana dirinya masih mampu berdikari tanpa mengharapkan wang suaminya.
“Untuk sesiapa yang tertanya-tanya dan terfikir bahawa saya menggunakan duit suami, tolong ingat ya saya ada duit dan pendapatan sendiri.
“Saya tidak perlukan dia (suami) untuk menanggung saya. Ke mana sahaja saya pergi, sama ada melancong atau membeli belah, saya tidak menggunakan wang suami.
“Jadi tolong faham yang saya boleh berdikari walaupun sudah berkahwin. Tolong jangan anggap saya sentiasa menggunakan wang suami untuk segala hal,” katanya.
Dalam pada itu, Intan juga akui sudah penat dengan dakwaan yang dibuat netizen yang sering mengaitkan suaminya dengan setiap perbelanjaan dilakukan.
“Jangan libatkan suami saya dengan setiap aktiviti perbelanjaan, shopping dan melancong kerana dia tidak ada kena mengena dengan setiap apa yang saya lakukan,’ tambahnya.
Sumber: Kosmo