Pelakon Ikmal Amry tidak terkejut menerima komen mendakwa dirinya mirip pelakon Indonesia, Jefri Nichol kerana sudah didengar sejak tahun lalu lagi, namun kini kembali rancak selepas nama Jefri kembali tular berikutan kontroversinya baru-baru ini.
“Kalau kalian tengok, wajah saya ada iras seperti Jefri ke? Saya rasa tidak tetapi hampir setiap hari ada sahaja komen dalam media sosial yang kata wajah kami mirip.
“Perkara ini diperkatakan sejak dia mula-mula popular di Indonesia. Kemudian, saya pernah Facetime dengan Jefri sebelum ini, itu pun secara tidak sengaja kawan saya hubungi dia. Kami tidak berkawan tetapi tahu kewujudan masing-masing.
“TikTok kami sama-sama dibanjiri dengan komen mengatakan wajah dia mirip pelakon Malaysia, Ikmal Amry dan begitu juga yang ada dalam ruangan komen saya,” katanya.
Namun Ikmal menerima pendapat itu dengan terbuka apatah lagi Jefri adalah lelaki kacak.
“Saya okey sahaja jika disamakan dengan Jefri sebab dia memang kacak. Cuma seram juga lah, kalau benda buruk dia buat saya pun terkena tempias.
“Paling kelakar, ada komen yang gelar saya Jefri Nichol versi ‘green flag’. Mungkin komen positif itu kerana saya dah kahwin.
“Kemudian ada pula yang persoal kenapa saya bercinta dengan Ameera Khan? Sedangkan dalam Instagram saya ada banyak gambar dengan isteri, mereka salah orang,” ujarnya.
Sumber: Kosmo