Hujan Durian Di Lebuh Raya!

Sebuah lori yang mengangkut timbunan durian terbalik dalam satu nahas yang berlaku di Kilometer (KM) 279.9 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Utara).

hujan durian di lebuh raya!

Lori tersebut dipercayai sedang berada dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Segamat ketika kejadian tersebut berlaku.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman, kejadian terbabit berlaku sekitar jam 1.55 tengah hari, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi rehat dan rawat (RnR) Seremban.

“Kemalangan dikatakan berpunca apabila lori yang dipandu lelaki berumur 25 tahun itu hilang kawalan dipercayai selepas tayar belakang pada bahagian kiri kenderaan itu pecah sebelum terbabas dan terbalik di lorong kiri lebuh raya.

“Akibat kemalangan itu, pemandu lori dan kelindan berusia 52 tahun mengalami kecederaan ringan manakala buah durian yang dianggarkan seberat 1,000 kilogram (1 tan) bertaburan di atas jalan raya tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan.

Kes tersebut disiasat Unit Siasatan Lebuhraya Bukit Aman di bawah “Rule 10 LN 166/59”.

 

Sumber: [1]