Hari ini negara dikejutkan dengan insiden tiga beradik dari Tumpat, Kelantan yang maut akibat terkena renjatan elektrik susulan daripada banjir yang berlaku.
Sejak itu, beberapa portal dan media dilihat berkongsi foto dan video yang jelas menunjukkan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan mengaibkan.
Baca: Tiga Beradik Maut Terkena Renjatan Elektrik Masa Banjir di Kelantan
Justeru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai untuk tidak menularkan video terbabit bagi menghormati mangsa dan privasi keluarga mangsa, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden ini.
Dalam masa yang sama, pihak Suruhanjaya juga telah mengambil langkah proaktif mengangkat perkara ini untuk perhatian dan tindakan selanjutnya daripada penyedia platform seperti Meta, Twitter dan TikTok dalam usaha mengekang penularan video yang berkaitan.
Bagi menghentikan penularan video seperti tersebut, pengguna media sosial juga digalakkan untuk membuat laporan secara terus terhadap kandungan yang sensitif dan tidak sesuai untuk tatapan umum kepada penyedia platform.
Sumber: MCMC