Pelakon, penceramah bebas dan juga suami kepada selebriti Neelofa iaitu Haris Ismail, 28, menggesa masyarakat agar tidak bertindak melulu dalam melakukan usaha boikot, hingga ada yang menyifatkan media sosial seperti Tiktok dan Facebook juga berada dalam senarai sama.
Menurut Haris, beliau percaya media sosial mampu menjadi medium komunikasi, menyampai dan menerima buat orang ramai yang ingin mendapat maklumat mengenai Palestin.
“Jangan kata ‘Eh kau pakai Instagram, TikTok, Facebook buat apa? Itu semua Yahudi’, bagi saya, jangan pandang macam itu kerana ia adalah satu bentuk pengasingan.
“Cara memboikot mestilah diasingkan. Ada orang guna cara boikot dengan cara dia bercakap atau menyampaikan maklumat di media sosial, betul tak? Hari ini, kenapa kesedaran kita semakin tinggi mengenai isu semasa?
“Ada ketika bila bangun pagi pun kita terfikir rakyat di sana keadaannya bagaimana? Kena bom lagikah dan sebagainya. Dari mana anda tahu? Tak akanlah 24 jam duduk di depan televisyen, mestilah menerusi media sosial,” katanya.
Tambahnya lagi, orang ramai akan berasa lebih terkesan dengan penderitaan yang dialami rakyat Palestin dengan melihat dan membaca melalui media sosial.
“Katakanlah, kalau ideologi ini dibawa, katakanlah ada orang cakap ‘tak payahlah muat naik apa-apa, tak ada kesan pun’. Kalau anda tak nampak benda-benda itu di media sosial, macam mana nak dapat penjelasan itu? Macam mana nak rasa kesedihan itu?
“Sebab itu, jangan ada seseorang pun daripada kita memberitahu ‘jangan boikot’. Kita teruskan usaha boikot ini sehingga mereka tak ada langsung kebergantungan kepada duit kita.
“Jangan pandang rendah pada usaha boikot ini. Kita semua kena semangat dalam perkara ini dan biarkan ekonomi mereka jatuh. Kalau boleh, kita tak nak satu sen pun duit kita terlibat dalam kezaliman mereka menghancurkan saudara-saudara Islam kita di sana,” katanya lagi.
Sumber: Utusan Online