Skuad bola sepak kebangsaan mulakan saingan Piala AFF dengan kemenangan. Pada aksi pertama kumpulan B, Malaysia kalahkan Kemboja 3-1 menerusi jaringan Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan R. Kogileswaran.
Kita semua tahu persiapan skuad negara untuk kejohanan ini bukan yang terbaik. Tan Cheng Hoe hanya menerima skuad penuh sebaik tamat aksi final saingan Piala Malaysia hujung bulan lalu. Memperoleh 3 mata pada perlawanan pertama ini setidaknya mampu meningkatkan keyakinan pemain untuk perlawanan akan datang. Ye lah, persiapan penuh hanya beberapa hari pun masih boleh menang kan?
Sebagai penyokong, adakah semua berpuas hati dengan prestasi pasukan? Memang la menang, tapi berdepan Kemboja. Lawan yang seharusnya tidak memberi masalah kepada Harimau Malaya. Cuma, corak permainan yang ditampilkan Kemboja nampak lebih menarik. Menyerang daripada bahagian sayap dan serangan pantas berjaya mencemaskan barisan pertahanan Malaysia. Penjaga gol kita, Khairul Fahmi banyak melakukan aksi menyelamat terutamanya pada babak pertama. Ok lah, pemain kita belum settle down la agaknya kan?
Tapi corak permainan Malaysia mula berubah apabila Tan Cheng Hoe membuat pertukaran pada babak kedua. Pengendali skuad Harimau Malaya itu memasukkan Shahrel Fikri, R. Kogileswaran, Luqman Hakim Shamsuddin dan Ariff Aiman. Ketika ini baru nampak serangan skuad negara lebih lancar. Kombinasi mereka ini berjaya menghasilkan gol ketiga yang menyaksikan R. Kogileswaran menjaringkan gol pertamanya untuk skuad kebangsaan.
Bukan nak kata kesebelasan utama tak bermain dengan baik. Akhyar Rashid dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan. Dia mendapatkan penalti untuk gol pertama Malaysia sebelum menjaringkan gol kedua. Mungkin gandingannya bersama Guilherme de Paula dan Safawi Rasid belum serasi. Bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam berpendapat kehadiran de Paula di bahagian serangan membataskan corak permainan Malaysia. De Paula seperti yang kita tahu bukan pemain yang gemar melakukan larian tanpa bola ke arah pertahanan lawan. Kalau nak tahu lebih lanjut apa yang Shahrom Kalam ulas, boleh layari Facebook, Twitter dan Instagram Astro Radio News.
Berdasarkan prestasi dan corak permainan ketika kalahkan Kemboja, Malaysia tidak seharusnya berdepan masalah apabila bertemu Laos nanti. Apa pun, tahniah diucapkan kepada pemain dan staf kejurulatihan skuad kebangsaan kita. Ayuh Malaysiaku!
Oleh: Karami Kamel