Harga makanan berasaskan ayam yang dijual di bazar Ramadan bulan hadapan dijangka meningkat berbanding harga sebelum ini.
Perkara itu disuarakan oleh Persatuan Pengguna Negeri Kedah berhubung kenaikan harga makanan yang biasanya berlaku apabila tiba bulan Ramadan ataupun musim perayaan.
Menurut setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya mengandaikan peningkatan harga itu berikutan wujud permintaan yang tinggi bagi produk makanan berasaskan ayam.
“Tidak dinafikan, harga ayam yang mahal hingga mencecah lebih RM9 hingga RM11 sekilogram menjadi tular dalam kalangan pengguna telah turun kepada sekitar RM8.50 sekilogram.
“Harga ayam turun sedikit selepas kerajaan memberi subsidi kepada penternak ayam namun kita tidak menolak kemungkinan harga akan meningkat disebabkan permintaan tinggi pada bulan Ramadan,” katanya.
Tambahnya lagi, kebanyakan tapak bazar di Kedah telah penuh berikutan telah disewa peniaga yang ingin berniaga pada bulan Ramadan.
Peningkatan harga dijangka berlaku kepada makanan seperti ayam percik dan ayam golek, namun keperluan lain selain ayam masih belum dipastikan.
Menurutnya lagi, jangkaan itu bukanlah untuk mencetuskan panik dalam kalangan pengguna, sebaliknya berharap agar pihak berwajib bersedia jika berlaku kenaikan harga ini.
Sumber: [1], [2]