Semalam kecoh di media sosial mengenai penceraian pelakon, Hafidz Roshdi bersama isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri.
Meskipun masih belum ada sebarang pengesahan penceraian itu daripada Hafidz dan Shuhada sendiri, perkara ini telah disahkan oleh adik ipar Hafidz yang dikenali sebagai Sofia.
Menurut Sofia, Hafidz melafazkan cerai talak satu itu menerusi satu panggilan telefon di hadapan keluarganya. Jelasnya lagi, keputusan untuk berpisah itu dicapai kedua-dua belah pihak keluarga.
"Memang betul, Hafidz dah lafazkan cerai talak satu kepada kakak saya melalui telefon di hadapan semua ahli keluarga masing-masing," katanya di sini pada Khamis.
Dalam laporan itu, Hafidz ketika kejadian berada di Shah Alam manakala Shuhada dan keluarganya berada di Perlis.
"Insya-Allah Shuhada akan failkan cerai di mahkamah di Kuala Lumpur nanti. Kami sedang bercakap dengan peguam untuk tarikh perbicaraan sebab ia masih dalam proses," katanya lagi.
Sementara itu, Nurul Shuhada dilaporkan telah membuat permohonan penceraian yang akan difailkan pada 1 Mac depan, yang juga jatuh pada tarikh kelahirannya.
Konflik rumah tangga pasangan ini mula tercetus apabila Shuhada mendedahkan suaminya itu mempunyai hubungan dengan wanita lain. Kemudian, muncul pula wanita bernama Athira Yuhada yang mengakui Hafidz pernah cuba mendekatinya sejak sembilan tahun lalu, sambil mengakui kesilapan itu dan memohon maaf kepada Shuhada.
Shuhada dalam satu perkongsian di Instagram berkata boleh memaafkan wanita tersebut namun tidak akan melupakan apa yang sudah berlaku.
Hasil perkahwinan Hafidz dan Shuhada pada 30 April 2016, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata yang kini masing-masing berusia 6 dan 2 tahun.
Sumber: Astro AWANI