Grup Terbaru Unknown 'Klon' One Direction Malaysia Ke?

Di era yang mana dunia muzik tempatan sedang dalam ketandusan kemunculan grup lelaki, munculnya sekumpulan remaja berbakat yang mengambil langkah berani untuk menghidupkan semula zaman kegemilangan boy band Malaysia yang pernah mewarnai arena muzik Malaysia pada satu ketika dahulu.

grup terbaru unknown 'klon' one direction malaysia ke?

Terdiri daripada lima remaja yang punya corak dan personaliti tersendiri, Unknown merupakan gabungan antara Momo, 19, MaryHaf, 19, Izmeer Ibrahim, 18, Ameer, 18 dan Zaq, 17.

Biarpun bergelar pendatang baru yang baru sahaja melancarkan single pertama mereka, “Baby Sayang (Jangan Marah)” pada 28 Mei, namun kehadiran kumpulan ini ternyata sudah lama diperhatikan kebanyakan peminat muzik tempatan yang menantikan kemunculan mereka.

Azuien Alonto, selaku Pengarah Urusan Ace Talents yang teruja dengan ‘anak buahnya’ itu turut berkata, “Saya yakin bahawa Unknown mampu mencetuskan fenomena selain bersaing dengan bakat-bakat lain dalam industri muzik tempatan. Secara peribadinya, saya memilih setiap ahli Unknown kerana potensi dan bakat besar yang dimiliki mereka tidak dapat disangkal lagi, selain berusaha untuk menjadikan mereka pelapis baru dalam arena muzik Malaysia.”

Perjalanan kumpulan ini dikhabarkan bermula apabila mereka menjalani audisi secara individu, namun kemudian digabungkan menjadi sebuah kumpulan agar saling melengkapi bakat dan kekuatan masing-masing.

Turut menangkap perhatian, ‘buah tangan’ pertama iaitu “Baby Sayang (Jangan Marah)” turut menerima sentuhan daripada salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut, iaitu Momo, yang terlibat dalam penulisan lirik bawah bimbingan ‘sifu’ Azan Ruffedge.

Dengarkan lagu pertama Unknown, “Baby Sayang (Jangan Marah)” di YouTube Ace Talents.