22 Februari 2022, genapnya tiga dekad sejak penghibur legenda, Datuk Sudirman Haji Arshad pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Lahir pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang, Sudirman merupakan yang bongsu daripada tujuh beradik.
Namanya diberikan oleh bapanya sempena tokoh pejuang kemerdekaan Indonesia, Jeneral Soedirman.
Pada 1978, beliau menerbitkan album pertamanya, ‘Aku Penghiburmu’ dan menamatkan pengajian dua tahun sebelum mula berkhidmat sebagai peguam untuk beberapa tahun.
Sudirman bagaimanapun, meninggalkan profesion tersebut untuk memberi laluan kepada kerjaya seninya.
Dengan deretan lagu hits bersama gaya persembahannya yang kreatif, namanya meledak sebagai bintang utama era 80-an.
Pada malam 15 April 1986, beliau melakar sejarah selepas mengadakan konsert terbuka dan percuma di Jalan Chow Kit yang disaksikan lebih 100,000 penonton dari segenap lapisan masyarakat Malaysia khususnya di sekitar Kuala Lumpur.
Beliau kemudian dinobatkan sebagai ‘Penghibur Nombor 1 Asia’ pada Salem Asian Music Awards di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989, mengatasi peserta lain antaranya legenda pop Hong Kong, Leslie Cheung dan Anita Sarawak dari Singapura.
Selain menyanyi, Sudirman turut melebarkan kerjaya anak seninya sebagai seorang pelakon apabila diangkat sebagai teraju utama dalam filem ‘Kami’ (1982) dan juga sebagai seorang penulis, kolumnis serta wartawan sambilan.
Turut tidak ketinggalan, beliau juga seorang usahawan yang pernah menghasilkan minuman ringan ‘SUDI’ serta membuka kedai menjual rangkaian cenderamata jenamanya sendiri.
Pada 17 1991, beliau dikejarkan ke hospital selepas rebah semasa membuat persembahan di Butterworth, Pulau Pinang.
7 bulan menderita pneumonia, Sudirman menghembuskan nafas terakhir pada 4 pagi 22 Februari 1992 di usia 37 tahun.
Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Temerloh.
Meskipun kehadirannya dalam arena hiburan yang sempat dirasai selama 16 tahun, namun, kewujudan beliau masih tiada galang ganti sehingga hari ini.
Sumber: [1]