998 Kawasan Lembah Klang Bakal Alami Gangguan Bekalan Air

Sebanyak 998 kawasan di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 13 hingga 16 Oktober depan.

998 kawasan lembah klang bakal alami gangguan bekalan air

Menurut Air Selangor dalam satu kenyataan, kawasan yang terlibat merangkumi wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

 

Gangguan ini berikutan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

 

“Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula jam 9:00 pagi, 13 Oktober 2021 dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9:00 malam, 16 Oktober 2021,” ujarnya.

 

Tambah Air Selangor lagi, pelaksanaan ini adalah kerja-kerja tertangguh daripada jadual asal iaitu tahun 2019 dan 2020 berikutan pencemaran air yang pernah berlaku sebelum ini.

 

“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar. Pelaksanaan kerja-kerja ini telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan,” katanya lagi.

998 kawasan lembah klang bakal alami gangguan bekalan air

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk menyimpan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

 

Sumber: Air Selangor