Gadis Berusia 21 Tahun Pilih Kerja Lasak, Angkat Kelapa Sawit Demi Kelangsungan Hidup

Di usia 21 tahun, gadis bernama Nor Syazwani Nor Azman ini mengambil jalan untuk tidak memilih pekerjaan dan sanggup melakukan kerja lasak demi meneruskan kelangsungan hidup.

gadis berusia 21 tahun pilih kerja lasak, angkat kelapa sawit demi kelangsungan hidup

Memetik laporan media tempatan, walaupun mempunyai berat badan sekitar 40 kilogram sahaja, gadis asal Negeri Sembilan itu membuktikan saiz badan bukan halangan untuknya melakukan pekerjaan memunggah dan mengangkat kelapa sawit di kebun kelapa sawit.

Menarik juga untuk diketahui, gadis yang merupakan anak kedua daripada sembilan beradik sememangnya gemar melakukan kerja-kerja lasak, seperti mana yang dikongsikan ibunya, Mastura Masran, 40.

Berdasarkan info yang diperoleh daripada laporan media tempatan, Nor Syazwani mula melakukan pekerjaan tersebut ketika berusia 15 tahun selepas keadaan semasa itu tidak mengizinkan dirinya untuk menyambung pelajaran.

Setiap bulan, dia akan memperoleh upah sekitar RM400 sebulan dan menggunakan duit tersebut untuk keperluan dirinya.

Selain itu, Nor Syazwani juga tidak mengambil sebarang vitamin tambahan. Dia hanya memakan apa jua yang dimasak ibunya. Pun begitu, dia mampu mengangkat kelapa sawit sehingga 25 kilogram!

Di samping itu, gadis itu turut mempelajari proses penuaian daripada bapa saudaranya sendiri. Katanya, kemahiran itu penting jika ingin bekerja di ladang.

Di waktu lain, dia akan mengikut ayahnya pula untuk melakukan kerja-kerja pembinaan seperti membina dan membaiki rumah di sekitar kawasan berhampiran dan membantu ibunya berniaga makanan di gerai yang berhampiran dengan rumah mereka.

 

Sumber: SinarPlus