Selebriti ternama, Fazura mengaku dirinya dan suami, Fattah Amin, menyimpan hasrat untuk menimang cahaya mata kedua.
Namun, kongsi pelakon berusia 38 tahun itu, dia hanya mampu merancang serta menyerahkan urusan tersebut kepada ketentuan Allah.
“Memang saya rindu nak ada anak lagi. Fatimah pun sudah semakin besar, bakal berusia dua tahun dalam dua bulan lagi.
“Saya fikir, memang sekarang ini masa yang sesuai untuk tambah zuriat. Cuma, sekarang saya masih sibuk.
“Tapi, perancangan tetap ada. Mungkin selepas selesai semua kesibukan ini, saya dan Fattah sudah boleh merancang untuk menambah ahli keluarga,” katanya kepada satu portal akhbar tempatan.
Berbicara mengenai jantina pula, kongsi pelakon Dendam Pontianak itu, dia tak kisah dan sentiasa bersikap terbuka mengenainya.
“Tentang jantina, saya tak tahu. Sejujurnya, lelaki atau perempuan, saya terima.
“Memang kalau ikutkan, nak sepasang. Tapi, saya cuma mampu berdoa agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah,” katanya lagi.
Terdahulu, Fazura mendirikan rumah tangga bersama Fattah pada November 2017. Pasangan tersebut dikurniakan cahaya mata bernama Nur Fatima Aisya.
Sumber: Utusan